Hasrat Trump ambil alih Gaza pencabulan, penolakan terang-terangan - Aiman Athirah

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) membantah sekeras-kerasnya hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan mengubahnya menjadi ‘Riviera Timur Tengah’.
Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkara tersebut adalah jelas bertentangan dengan norma dan undang-undang antarabangsa.
“Lebih jengkel dan mengecewakan apabila rancangan kontroversi Trump itu dibuat semasa sidang akhbar bersama penjenayah dunia yang telah dikeluarkan waran tangkap terhadapnya oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) iaitu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahudi Rumah Putih.
“Disitulah Trump berkata, ‘AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza’ dan mencadangkan penempatan tetap semula pendudukan Palestin di negara Arab sekitarnya seperti Mesir serta Jordan seperti mana yang diidamkan oleh regim Zionis Israel,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Trump mencadangkan satu visi untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dengan menjadikan wilayah itu sebagai 'Riviera Timur Tengah'.
"Riviera Timur Tengah. Ini boleh menjadi sesuatu yang sangat luar biasa," kata Trump dalam sidang akhbar bersama Netanyahu.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, memaksa penduduk asal Gaza meninggalkan tanah air mereka adalah tindakan barbarian yang bertentangan daripada perbincangan dan perjanjian awal.
“Sangat tidak bertamadun, tidak demokratik dan khianat. Adalah penting untuk semua pihak termasuk Trump menghormati sejarah dan pengiktirafan dunia, Semenanjung Gaza diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mahkamah tertingginya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin di bawah pendudukan tentera Israel.
“Undang-undang Antarabangsa melarang rampasan wilayah dengan kekerasan dan paksaan yang ditakrifkan sebagai tindakan pencerobohan.
“Justeru, hasrat atau cadangan Trump adalah satu pencabulan dan penolakan terang-terangan terhadap prinsip teras undang-undang antarabangsa yang telah beroperasi sejak sekurang-kurangnya akhir Perang Dunia II serta penerimaan Piagam PBB,” ujarnya.
Jelas beliau, masyarakat antarabangsa, khususnya Arab dan Islam telah menolak sekeras-kerasnya langkah tersebut.
Menurut Aiman Athirah, tempat paling sesuai untuk rakyat Palestin dipindahkan semula adalah di tanah air yang dicerobohi oleh Israel.
“Tentunya ini seterusnya akan memenuhi Hak Kembali (Right To Return) seperti mana termaktub dalam Resolusi PBB 194, menjamin hak rakyat Palestin untuk pulang ke rumah mereka yang dicerobohi Israel.
“Tindakan membawa penduduk Gaza keluar dari Gaza akan turut mewujudkan risiko tinggi yang mendorong kepada keadaan di mana seolah-olah kita sendiri menghalalkan perancangan jahat untuk menjadikan Palestin terus lenyap daripada peta dunia buat selama-lamanya,” katanya.
Kata Aiman Athirah, beliau berharap AS menghentikan sikap yang mencetuskan perasaan benci, hilang percaya dan dendam masyarakat dunia khususnya umat Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!