Gencatan senjata: Israel bebaskan kumpulan kelima 183 tahanan Palestin

Seorang bekas tahanan Palestin memeluk ahli keluarganya selepas keluar dari sebuah bas di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki pada 8 Februari 2025, sebagai sebahagian daripada pertukaran tawanan-ke-tahanan kelima di bawah gencatan senjata Gaza yang rapuh. Foto AFP

A
A
A

RAMALLAH - Pihak berkuasa Israel membebaskan kumpulan kelima tahanan Palestin yang melibatkan 183 individu pada Sabtu di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Menurut Persatuan Tahanan Palestin dan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan serta Bekas Tahanan Pihak Berkuasa Palestin, pembebasan itu termasuk 18 individu yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, 54 tahanan dengan hukuman jangka panjang serta 111 tahanan dari Gaza yang ditahan selepas 7 Oktober 2023.

Persatuan Tahanan Palestin turut melaporkan bahawa 42 daripada tahanan yang dibebaskan berasal dari Tebing Barat, tiga dari Baitulmuqaddis, dan 27 dari Gaza.

Selain itu, tujuh tahanan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup telah dihantar keluar dari Palestin, terdiri daripada Ahmed Atiyah Jaafari, Abdel Azim Hassan, Imad Abu Ajamiya, Falah Shehada, Montaser Abu Ghalion, Mansour Abu Aoun dan Youssef Iskafi.

Seorang bekas tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel menunjukkan isyarat kemenangan ketika beliau meninggalkan sebuah bas di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki pada 8 Februari 2025, sebagai sebahagian daripada pertukaran tawanan-ke-tahanan kelima di bawah gencatan senjata Gaza yang rapuh. Foto AFP

Semasa pembebasan berlangsung, tentera Israel menukar kawasan berhampiran Penjara Ofer, barat Ramallah, menjadi zon ketenteraan, menghalang keluarga daripada berkumpul bagi menyambut kepulangan tahanan serta melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah mereka.

Walaupun terdapat sekatan, ratusan rakyat Palestin dan keluarga tahanan yang dibebaskan berkumpul sejak awal pagi di Muzium Mahmoud Darwish di Ramallah untuk menyambut mereka, sambil mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda kegembiraan.

Pembebasan ini menandakan langkah penting dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, dengan suasana penuh emosi apabila keluarga dan penyokong meraikan kepulangan insan tersayang.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!