Pemindahan paksa rakyat Palestin ancam kestabilan - Yadim

SHAH ALAM - Sebarang cubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka bukan sahaja tidak berperikemanusiaan tetapi turut mengancam kestabilan di rantau tersebut.
Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Profesor Madya Dr Adi Anuar Azmin berkata, mana-mana pihak tidak boleh menafikan hak mutlak rakyat negara itu untuk menentukan sendiri masa depan mereka.
"Yadim turut berdiri teguh dalam menyokong usaha Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk menegakkan keadilan bagi rakyat Palestin melalui penyelesaian dua negara, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
"Keamanan dan kestabilan yang berkekalan hanya dapat dicapai dengan pengiktirafan penuh terhadap kedaulatan Palestin" katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, kata beliau, Yadim menyokong penuh agar semua negara yang masih belum mengiktiraf Palestin agar segera berbuat demikian dan menyokong keahliannya sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ujar Adi Anuar, ia selaras dengan Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang berlangsung pada 11 November 2024.
"Yadim juga menyokong sepenuhnya peranan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
"Beliau telah menjadi antara pemimpin utama yang lantang bersuara di pentas global, termasuk dalam Sidang Kemuncak ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertemuan dengan pemimpin dunia, bagi menuntut keadilan untuk Palestin.
"Pendekatan diplomatik yang tegas oleh beliau dalam menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera adalah satu langkah berani dalam memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian global," katanya.
Malaysia baru-baru ini dengan tegas menolak sebarang cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka dan menggesa penyelesaian kekal yang menghormati hak serta kedaulatan mereka.
Menurut Wisma Putra, pemindahan paksa itu disifatkan sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum itu menyatakan hasrat untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan membenarkan negaranya mengambil alih wilayah yang musnah akibat perang berkenaan.
Mengulas lanjut, Adi Anuar berkata, Yadim kekal konsisten memberi sokongan terhadap semua usaha diplomatik dan kemanusiaan yang sedang dijalankan oleh pelbagai pihak, termasuk Pakatan Global dan Kumpulan Hague, dalam memperjuangkan keamanan berkekalan dan menamatkan penindasan ke atas rakyat Palestin.
Sebagai badan dakwah, yayasan itu akan terus memainkan peranannya dalam menyedarkan umat Islam dan rakyat Malaysia mengenai isu Palestin serta menggerakkan solidariti dan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

