Islam di Selangor eratkan hubungan budaya, agama melalui 'Li Ta'arufu' - Mohammad Fahmi

SHAH ALAM - Selangor terus mengangkat dan mengamalkan konsep 'Li Ta'arufu', iaitu sikap saling kenal-mengenal antara budaya dan agama yang pelbagai dalam menjaga keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata, konsep itu juga menggalakkan interaksi yang harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
"Dalam masa sama, (konsep itu) terus juga menjaga keutuhan akidah dan perbatasan syariat dalam kehidupan seharian dengan masyarakat bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan sebuah garis panduan kepada umat Islam menghadiri majlis orang bukan Islam khususnya di negeri ini.
Mohammad Fahmi menjelaskan, umat Islam di negeri ini secara umumnya berpendidikan dan mempunyai kesedaran agama yang tinggi.
"Saya percaya umat Islam di Selangor matang berfikir dan bijak menilai hal-hal berkaitan agama Islam," jelas beliau.
Tambah beliau, umat Islam di negeri ini juga digalakkan untuk menggunakan beberapa sumber rujukan rasmi bagi mendapatkan jawapan berkaitan agama Islam.
Kata beliau, sumber rujukan itu terdiri dalam kalangan agensi seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kehakiman Negeri Selangor dan Jabatan Mufti Negeri Selangor yang sentiasa bersedia membantu menyelesaikan sebarang persoalan agama yang diajukan.
"Semoga syiar Islam terus didaulatkan di Selangor agar kemajmukan dan perpaduan kaum di Selangor terus kekal utuh dan dicontohi oleh semua," kata beliau.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Sultan Selangor menegaskan baginda tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di Selangor.
Sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor, baginda berpandangan, cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu tidak bersesuaian iaitu ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
Sebelum ini, polemik mengenai garis panduan ini timbul susulan cadangan awal kerajaan untuk mengeluarkan panduan kepada umat Islam berhubung kehadiran mereka dalam majlis perayaan bukan Islam.
Garis panduan ini bertujuan memastikan umat Islam tidak terlibat dalam elemen ritual atau keagamaan yang boleh menjejaskan akidah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

