Pulau Pinang akan alami gangguan bekalan air berjadual pertengahan Syawal

GEORGE TOWN - Kira-kira 337,000 pengguna air di kawasan seberang dan pulau akan terjejas oleh gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 24 sehingga 48 jam bermula 25 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, gangguan tersebut adalah disebabkan kerja-kerja penyambungan akhir berjadual untuk Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) yang baharu bernilai RM8.7 juta (Fasa1) di Seberang Perai.
Kata beliau, pada 1 Februari lalu, status kerja projek SP-RCP berjalan mengikut jadual dan mencapai 70 peratus.
Menurutnya, PBAPP memberi notis awal mengenai kerja-kerja penyambungan akhir berjadual projek SP-RCP itu kerana ia akan menjejaskan bekalan air di semua lima daerah di negeri ini, termasuk majoriti pengguna air industri di Bayan Lepas, Perai, Bukit Minyak dan Batu Kawan.
"Apabila siap, SP-RCP ini akan menyokong kapasiti pengepaman air terawat maksimum 247juta liter sehari (JLH).
"Ia akan membolehkan pengepaman air terawat yang lebih selamat dan lebih efisien dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua untuk memenuhi permintaan air pada masa hadapan di tanah besar dan bahagian pulau, Pulau Pinang (melalui saluran paip dasar laut berkembar)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya lagi, ia akan dipasang pada struktur sokongannya sendiri kira-kira lima meter di atas permukaan Sungai Perai.
"SP-RCP akan menggantikan dua saluran paip sementara 600milimeter (mm) yang diletakkan di sepanjang Jambatan Ampang Jajar yang dilalui kenderaan.
"Bahagian saluran paip SP-RCP adalah komponen saluran paip bekalan air utama yang meliputi dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) ke Sungai Perai di SPT," ujarnya.
Pathmanathan berkata, PBAPP perlu menghenti tugas sementara bahagian saluran paip SPU-SPT pada 25 April ini untuk membolehkan kerja-kerja penyambungan akhir serta kerja ujian dan pengoperasian.
"Ketika tempoh henti bekalan air, PBAPP juga akan menjalankan kerja-kerja pembaikan segera untuk membaiki saluran paip 1.2m yang bocor di lokasi lain di pinggir sungai (Jalan Pengkalan Tambang) di SPU, berhampiran LRA Sungai Dua.
"Seperti SP-RCP, kerja-kerja pembaikan ini akan menyokong pengepaman air yang lebih cekap dari LRA terpenting Pulau Pinang iaitu LRA Sungai Dua.
"Apabila PBAPP menyambung semula pengepaman penuh air terawat dari Sungai Dua, pemulihan bekalan air untuk pengguna-pengguna berhampiran dengan tapak SP-RCP seharusnya mendahului kawasan yang terletak lebih jauh," katanya.
Beliau menambah, seperti SWSI terdahulu yang melibatkan air terawat dari LRA Sungai Dua, pemulihan untuk pengguna di hulu akan lebih cepat daripada pengguna di hilir.
"Ini adalah notis awal SWSI yang dirancang di Pulau Pinang yang dijadualkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Bagaimanapun, tarikh dan masa sebenar SWSI adalah tertakluk kepada penyiapan semua kerja-kerja persediaan yang diperlukan seperti yang dijadualkan.
"PBAPP akan memastikan semua kerja persediaan adalah untuk meminimumkan kesulitan kepada semua pengguna yang terjejas dan membolehkan pemulihan bekalan air seperti yang dirancang," katanya.
Menurut beliau lagi, sekiranya terdapat kelewatan berkaitan kerja penyambungan akhir SP-RCP disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangka pada masa ini, SP-RCP SWSI akan ditangguhkan.
"PBAPP tidak boleh berkompromi dengan integriti dan keselamatan kejuruteraan.
"Sehubungan itu, kami akan mengeluarkan peta kawasan terjejas, butiran lebih spesifik kawasan terjejas, kemas kini kerja tapak dan peringatan untuk menyimpan air pada Mac dan April 2025, sebelum pelaksanaan SP-RCP SWSI," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!