Kawalan keselamatan, lalu lintas Thaipusam di Pulau Pinang lancar

GEORGE TOWN - Kawalan orang ramai dan keselamatan awam sepanjang perayaan Thaipusam di Pulau Pinang berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, sehingga pagi Selasa, tiada rekod jenayah dilaporkan sepanjang sambutan perayaan tersebut.

Menurutnya, pemantauan pihak polis sejak malam Isnin mendapati keadaan terkawal, termasuk aspek keselamatan awam, kawalan orang ramai dan lalu lintas.
“Dari segi keselamatan awam, kawalan orang ramai serta trafik, semuanya berjalan lancar dan terkawal,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Community Policing Sempena Hari Thaipusam 2025 di Jalan Kebun Bunga di sini pada Selasa.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Alwi Zainal Abidin, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Puspanathan Wiresingam serta pegawai kanan polis lain.
Hamzah turut menjangkakan jumlah pengunjung akan bertambah bermula tengah hari sehingga lewat malam Selasa.
“Setakat ini sejak Isnin, lebih 200,000 penganut telah keluar masuk di kawasan Jalan Utama, Jalan Kebun Bunga dan Waterfall. Jumlah ini dijangka meningkat, jadi kami memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kami berharap segala-galanya berjalan lancar dan terkawal agar masyarakat daripada pelbagai lapisan dapat menyertai perayaan ini dengan selamat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 1,500 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan sepanjang tiga hari perayaan Thaipusam pada tahun ini.
“Mereka terdiri daripada pegawai dan anggota polis negeri termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta pasukan khas,” katanya.
Sebelum itu, Hamzah membuat tinjauan selama 30 minit selaim bertemu penganut dan memberikan penerangan mengenai kempen Thaipusam Selamat di beberapa gerai di sepanjang laluan berkenaan.
Beliau juga mengedarkan beg cenderahati kepada pengunjung yang mengandungi risalah berkaitan pencegahan jenayah sepanjang perayaan Thaipusam.
Kempen Thaipusam Selamat merupakan inisiatif kepolisan komuniti peringkat kebangsaan yang bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan penganut serta masyarakat sepanjang perayaan tersebut.

Sementara itu, salah seorang penganut Hindu yang ditemui, M Shamala, 32 berkata, kawalan polis sangat bagus pada tahun ini yang mana, tiada kejadian curi terutamanya di sekitar kawasan kuil berlaku.
Dia yang merupakan chef di sebuah hotel berkata, dengan kehadiran dan kawalan polis 24 jam memberikan rasa selamat dalam kalangan pengunjung.
"Setiap tahun saya datang ke sini, sudah 12 tahun tapi tahun ini saya rasa lain, kawalan polis sangat bagus. Saya dan ibu rasa lebih selamat.
"Mungkin disebabkan kawalan polis tahun ini sangat bagus, malah kejadian curi pun tiada. Hilang barang mungkin ada, itu pun disebabkan kelalaian sendiri, tetapi jika kes curi, memang tiada, setakat ini lah.
"Terima kasih kepada anggota keselamatan terutamanya polis yang bertugas sepanjang Thaipusam ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!