DBKL sasar ceriakan 1,028 tingkat lobi lif di 64 lokasi PA, PPR

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan untuk menceriakan sekurang-kurangnya 30 peratus atau 1,028 tingkat lobi lif di 64 lokasi Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi program Keceriaan dan Keindahan Lobi Lif.
DBKL memaklumkan, sebagai permulaan, tiga lokasi telah dipilih sebagai kawasan perintis bagi program tersebut iaitu PPR Kampung Muhibbah, PPR Beringin dan PPR Sungai Bonus.
Menurutnya, ketiga-tiga kawasan berkenaan telah memulakan usaha menceriakan sebanyak 14 blok melibatkan 238 tingkat yang dilaksanakan dengan dana hasil kutipan sesama penduduk.

"Hari ini (Sabtu), Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif mengadakan lawatan ke PPR Kampung Muhibbah bagi meninjau pelaksanaan program yang sedang dijalankan di kawasan tersebut yang turut disertai Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
"Ia inisiatif yang diperkenalkan DBKL bagi meningkatkan keselesaan dan keharmonian komuniti. Selain memperindahkan kawasan lobi lif, ia juga memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk serta membudayakan amalan kebersihan, gaya hidup sihat serta kreativiti dalam kehidupan seharian.
"Aktiviti ini melibatkan penduduk setempat yang bergotong-royong menghias dan memperindahkan kawasan lobi lif di tingkat masing-masing dengan sumbangan dana daripada komuniti," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tambah DBKL, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut menyokong inisiatif terbabit dengan menyediakan modal permulaan sebanyak RM300 bagi setiap tingkat.
Ulasnya, ia bagi membantu penduduk mendapatkan bahan-bahan keperluan seperti cat, peralatan dekorasi dan kelengkapan lain bagi menceriakan lobi lif di kawasan kediaman mereka.
"DBKL juga menggalakkan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), universiti awam dan swasta, serta organisasi lain untuk menyumbang dana, peralatan, dan sokongan logistik.
"Dengan penglibatan pelbagai pihak, inisiatif ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk PA dan PPR, tetapi membantu membentuk komuniti bandar yang lebih bersatu, harmoni dan sejahtera," ujarnya.
Dalam pada itu, menurut DBKL, pelaksanaan program terbabit dirancang mekakui tiga peringkat utama.
"Pada suku pertama 2025, penyediaan perancangan dan logistik akan dilaksanakan bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar.
"Aktiviti menceriakan lobi lif akan dijalankan pada suku kedua 2025 di mana penduduk akan bergotong-royong dalam menghias dan memperindahkan kawasan lobi masing-masing.
"Pada penghujung 2025, penilaian akan dibuat bagi menilai tahap kebersihan, keindahan dan hasil kreativiti penduduk. Tingkat yang mencapai tahap terbaik akan diberikan penghargaan sebagai galakan kepada komuniti," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
