Sambungan haram antara unsur sabotaj bekalan air di Sabah

Shahelmey Yahya
Shahelmey Yahya
A
A
A

PUTATAN - Penyambungan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab antara unsur sabotaj yang dikenal pasti penyumbang kepada masalah bekalan air yang dihadapi di Sabah.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya turut mengakui unsur sabotaj itu bukan hanya berlaku di Kota Kinabalu tetapi di daerah lain di negeri ini.

"Ya, ada unsur-unsur sedemikian rupa juga (sabotaj) disebabkan oleh sambungan haram dan sebagainya. Selain itu di Sandakan ada dua punca bekalan air.

"Satu daripada empangan Segaliud dan dari telaga tiub, iaitu ada beberapa telaga tiub tersebut dimaklumkan bahawa jumlah airnya sudah semakin berkurangan.

"Jadi pihak Jabatan Air telah membuat lawatan dan berbincang dengan pihak konsesi yang menjaga telaga tiub tersebut untuk melihat bagaimana kita lakukan pendekatan keadaan kekurangan bekalan air di telaga tiub tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Berkhatan Perdana Parlimen Putatan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini yang tidak mahu ada unsur sabotaj dalam pengurusan air di negeri ini termasuk di Sandakan.

Untuk rekod, Sandakan antara daerah yang turut mengalami masalah gangguan bekalan air sehingga terdapat dakwaan air yang disalurkan kepada pengguna berasa masin selain catuan bekalan air turut dilakukan.

Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, sebagai langkah jangka pendek yang dilaksanakan adalah dengan melakukan agihan air dari Kinabatangan ke kawasan yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Ada tiga bandar di Sandakan iaitu Bandar Leila, Bandar Ramai-Ramai dan Bandar Nam Tung yang agak terkesan apabila tekanan air rendah, jadi untuk naik ke tempat yang lebih tinggi itu mempunyai cabaran.

"Namun kita juga telah mengarahkan Jabatan Air untuk melihat penyelesaian jangka pendek bagi menghadapi cabaran selain kita merancang dan melaksanakan program jangka sederhana dan panjang," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai gangguan bekalan air di daerah yang dilanda banjir, beliau memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenainya namun kerosakan banyak menjurus kepada jalan raya yang terjejas akibat banjir.

"Setakat yang saya dimaklumkan, belum ada (gangguan bekalan air di kawasan banjir). Yang ada jalan-jalan yang mungkin rosak akibat ditenggelami air dan juga arus.

"Jadi untuk jalan yang terlibat dan terkesan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melalui daerah-daerah yang terlibat akan memantau dan membuat penilaian terhadap kerosakan jalan yang ada," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!