Bekalan air di Tapah pulih berperingkat bermula esok

Mohammad Nizar (dua dari kiri) beri jaminan gangguan bekalan air di di beberapa kawasan di Tapah, Bidor dan Teluk Intan akan dipulihkan secepat mungkin.
Mohammad Nizar (dua dari kiri) beri jaminan gangguan bekalan air di di beberapa kawasan di Tapah, Bidor dan Teluk Intan akan dipulihkan secepat mungkin.
A
A
A

IPOH - Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Tapah, Bidor dan Teluk Intan sejak Khamis lalu dijangka pulih secara berperingkat bermula esok, kata Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, peratusan pemulihan awal bekalan air di kawasan terjejas akan mencapai 50 peratus berasaskan kerja-kerja penyelenggaraan paip bocor yang dilakukan akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya dekat Tapah.

Kerja-kerja baik pulih paip bocor dan proses membekalkan bekalan air melalui lori tangki secara bergerak telah dijalankan LAP.
Kerja-kerja baik pulih paip bocor dan proses membekalkan bekalan air melalui lori tangki secara bergerak telah dijalankan LAP.

Menurutnya, buat masa ini, Lembaga Air Perak (LAP) menjalankan kerja-kerja pintasan (bypass) sepanjang 500 meter pada dua saluran paip di kawasan itu yang mengalirkan air mentah dari muka sauk Batu 7 Sungai Woh dan Batu 10 Sungai Batang Padang ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh.

"Buat masa ini dianggarkan lebih 50,000 pengguna akaun terlibat dalam gangguan bekalan air ini.

"Saya menjangkakan sekiranya kerja-kerja baik pulih itu selesai hari ini, maka esok pagi bekalan air dapat disalurkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus pengguna yang terjejas.

"Baki 50 peratus lagi bergantung kepada kerja-kerja tambahan lain yang dapat diselesaikan seawalnya dua ke tiga hari lagi," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus Besar LAP, Ir Lokman Abd Rahim dan Pengarah Negeri Wilayah Utara Cawangan Perak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir Ts Mohd Zaidi Mohamad Saad.

Artikel Berkaitan:

Kawasan terlibat gangguan bekalan air ialah Tapah Road, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kampung Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, SMTD, Jalan Temoh Station, Temoh dan kawasan sekitarnya.

Turut terlibat Mukim Labu Kubong, Mukim Sungai Manik, Langkap, Chui Chak, Kampung Air Hitam, Changkat Jong, Jalan Padang Tembak, Kampung Banjar, Kampung Selabak, Kampung Bahagia, Jalan Maharajalela, Jalan Sultan Abdullah, Pekan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, LAP telah menggerakkan 23 lori tangki termasuk bantuan daripada operator air negeri bagi membekalkan air secara bergerak di semua kawasan termasuk Hospital Tapah dan Hospital Teluk Intan.

Katanya, LAP juga mengaktifkan sistem bekalan air dari LRA Hilir Perak untuk menampung dan membantu bekalan air di sekitar Teluk Intan bagi mengurangkan kawasan gangguan.

"Kita memohon maaf kepada semua pengguna dan kerajaan negeri memberi jaminan akan melakukan sedaya upaya untuk memulihkan gangguan bekalan air ini secepat mungkin," katanya.

Sinar Harian melaporkan, runtuhan tanah yang berlaku pada malam Isnin lalu mengakibatkan tiga rumah penduduk di Taman Bunga Raya mengalami keretakan dan berisiko untuk diduduki.

Insiden sama juga menyebabkan paip saluran air mentah bawah tanah milik LAP yang mengalirkan air ke LRA Bukit Temoh bocor hingga mengakibatkan beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!