Sindiket kiriman wang haram tumpas, RM3.6 juta dirampas

KLANG - Berselindung di sebalik premis perniagaan runcit dan makanan adalah antara taktik sindiket pengiriman wang haram yang dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan sekitar Klang, Selangor dan Brickfields, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Kegiatan yang beroperasi setahun lalu itu dipercayai menerima antara RM15,000 hingga RM60,000 sehari dan boleh mencecah hingga RM110,000 pada musim perayaan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 3.45 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Bank Negara Malaysia (BNM) serta CyberSecurity Malaysia (CSM).

Beliau berkata, tindakan diambil susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu itu berjaya menahan beberapa individu berumur antara 21 hingga 57 tahun di lokasi serbuan.
"Serbuan pertama melibatkan tiga premis perniagaan di Klang, sekali gus menahan tiga lelaki warga India termasuk seorang daripadanya berperanan sebagai dalang utama dan dua wanita warga Indonesia.
"Serbuan berikutnya di sebuah premis kediaman sekitar Brickfields dipercayai menjadi pusat pengumpulan hasil pengendali perniagaan pengiriman wang haram dan menahan lima lelaki warga India," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, serbuan turut merampas wang tunai berjumlah RM3,627,643, mata wang asing berjumlah Euro 1,400, Yuan 10,000 dan barangan perhiasan emas disyaki hasil aktiviti dijalankan.
"Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah dan menyasarkan warga Indonesia serta India sebagai pelanggan.
"Sindiket turut dipercayai menggunakan barangan kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi," katanya.

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
"Tindakan diambil melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan peraturan Imigresen 1963.
"Selain itu, siasatan turut dijalankan Bank Negara Malaysia berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

