Tujuh premis perniagaan haram warga asing ditutup, dua lagi disita

Antara premis yang dikendalikan warga asing diarah tutup serta-merta kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Antara premis yang dikendalikan warga asing diarah tutup serta-merta kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sebanyak tujuh premis yang dikendalikan warga asing diarah tutup serta-merta kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tangkapan tersebut dilakukan susulan tinjauan mengejut yang dilakukannya beberapa hari lalu.

“Susulan terjahan saya ke kawasan perniagaan haram warga asing tempoh hari, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menjalankan satu Operasi Bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Johor.

“Melalui Operasi Bersepadu ini, tujuh premis perniagaan yang dikendalikan warga asing diarah tutup serta-merta kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat-syarat lesen selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKu 2019,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok pada Khamis.

Menurutnya, tiga Notis Amaran Pembatalan Lesen turut dikeluarkan kepada pemilik premis yang melanggar syarat lesen.

MPKu menjalankan satu Operasi Bersepadu bersama PDRM, SSM, KPDN Negeri Johor bagi membanteras premis perniagaan warga asing yang beroperasi secara haram.
MPKu menjalankan satu Operasi Bersepadu bersama PDRM, SSM, KPDN Negeri Johor bagi membanteras premis perniagaan warga asing yang beroperasi secara haram.

Ujarnya, SSM juga mengenakan tiga kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016.

“Suka untuk saya tegaskan sebanyak 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Johor telah melancarkan Operasi Bersepadu dalam usaha untuk mengawal selia perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing.

“Operasi ini bertujuan untuk melindungi kepentingan peniaga tempatan serta memastikan persaingan yang adil dan saksama dalam sektor perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, ia juga adalah bagi melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana perniagaan yang melanggar undang-undang dan peraturan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, Operasi Bersepadu akan diteruskan dari semasa ke semasa selaras dengan arahan Kerajaan Negeri Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan.

Tambahnya, pemilik lesen dilarang menyalahgunakan lesen bagi tujuan menyerah pemilikan lesen kepada orang lain terutamanya warga asing.

“Jika didapati bersalah pemilik lesen boleh dikenakan denda RM2,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang awam boleh menyalurkan aduan penyalahgunaan lesen perniagaan dengan memberikan maklumat dan bukti yang lengkap kepada MPKu di alamat e-mel mpku@johor.gov.my," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!