RM3.21 juta lesap, warga emas terpedaya sindiket pelaburan saham

Seorang warga emas kerugian lebih RM3.21 juta akibat terpedaya sindiket penipuan pelaburan, November lalu. Gambar hiasan
Seorang warga emas kerugian lebih RM3.21 juta akibat terpedaya sindiket penipuan pelaburan, November lalu. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat seorang warga emas menerima pulangan lumayan lebur setelah kerugian lebih RM3.21 juta akibat terpedaya sindiket penipuan pelaburan, November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berumur 77 tahun sebelum itu membuat laporan polis di kawasan Petaling Jaya.

Beliau berkata, semakan mendapati mangsa melihat satu skim pelaburan saham kononnya dikendalikan sebuah syarikat berpusat di Singapura.

"Mangsa diyakinkan untuk membuat pelaburan melibatkan 27 kaunter saham setelah dijanjikan pulangan yang lumayan sebelum membuat 15 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun berbeza berjumlah RM 3.21 juta," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, sekitar penghujung Januari, pihak syarikat berkenaan memaklumkan skim pelaburan itu akan ditutup.

"Setiap pelabur dikehendaki membayar komisen sebanyak 15 peratus kepada syarikat terbabit untuk mengeluarkan keuntungan yang telah dijana.

"Mangsa dimaklumkan telah menjana keuntungan sebanyak RM22 juta yang dipaparkan menerusi satu aplikasi pelaburan terbabit," katanya.

Menurutnya, mangsa menyedari dirinya telah diperdaya apabila mendapati dokumen pelaburan yang diberikan kepadanya adalah palsu.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap mana-mana tawaran pelaburan yang mencurigakan.

"Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan mencurigakan diminta menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat dan aduan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!