Dengar rintihan orang Langkawi

Pandangan dari udara perkampungan Bukit Malut, Langkawi. Gambar fail
Pandangan dari udara perkampungan Bukit Malut, Langkawi. Gambar fail
A
A
A

BARU-BARU ini seorang sahabat yang tinggal di Langkawi, Kedah bercerita tentang kekecewaan penduduk tempatan berhubung masalah orang asing di Bukit Malut.

Dia yang membesar di pulau legenda itu dan kini sudah berusia 50-an memberitahu isu yang berlaku di kawasan tersebut terus menjadi duri dalam daging penduduk tempatan.

Begitu banyak cerita tidak enak menjadi buah mulut penduduk sejak penempatan itu dibuka awal 1980-an oleh kumpulan pelarian Myanmar itu.

Namun katanya, penduduk tempatan tiada masalah dengan kelompok awal pelarian tersebut kerana mereka lebih memahami dan menghormati penduduk tempatan serta tidak banyak mendatangkan masalah.

Malah, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah juga mengesahkan kelompok tersebut merupakan komuniti asal orang Melayu Kedah yang datang dari Myanmar dan mereka diberikan status khas dikenali Melayu Islam Kedah (MIK).

Status mengenai penduduk Bukit Malut juga pernah dijelaskan oleh bekas Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjelaskan mereka adalah penduduk asal Kedah yang merantau ke Thailand dan Myanmar, kemudian kembali semula ke Langkawi.

Bagaimanapun, menurut sahabat saya itu, yang membawa masalah besar ialah kumpulan baharu Rohingya yang berjaya menyeludup masuk ke kawasan terletak 20 kilometer dari pekan Kuah itu.

Timbul dakwaan mengatakan generasi baharu itu bukan sahaja tidak menghormati penduduk, malah berlaku jenayah seperti kes kecurian dan dadah termasuk memonopoli perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Dakwa sahabat saya, kumpulan yang semakin berkembang itu turut mendapat keistimewaan dan bantuan berbanding dengan orang tempatan.

“Apabila rumah mereka terbakar, dapat bantuan rumah baharu tetapi penduduk tempatan hanya dapat beras dan gula sahaja.

"Begitu juga kalau mereka tak dapat bayar bil air, ada pihak akan bantu mereka.

“Malah mereka mudah meneroka tanah tetapi apabila rakyat tempatan hendak usahakan tanaman durian, pihak berkuasa terus serbu dan ambil tindakan,” katanya.

Tambah sahabat itu lagi, baru-baru ini juga kecoh apabila pihak berkuasa ingin merobohkan rumah di kawasan tersebut, namun rupanya hanya sebuah rumah sahaja terlibat sedangkan terdapat ratusan lagi rumah di situ.

Difahamkan, penempatan di Bukit Malut itu bercampur antara kumpulan yang mempunyai kad pengenalan biru dan pelarian dari Rohingya yang mempunyai kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Dalam satu laporan akhbar, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mendakwa jumlah penduduk di kawasan itu kini sudah mencecah 15,000 orang.

Disebabkan itu, kumpulan yang mempunyai status kewarganegaraan tidak lagi dapat hidup dengan selesa dan dikatakan mereka dipinggirkan.

Keadaan tersebut menyebabkan terdapat cadangan untuk membina penempatan baharu kepada kumpulan berkenaan supaya dapat hak untuk pendidikan serta kesihatan.

Bagaimanapun, berbalik kepada perkara ditimbulkan oleh sahabat saya itu, mungkin ia hanyalah sekadar dakwaan dan persepsi semata-mata.

Tetapi, jika benarlah apa yang didakwa itu, kita harap pihak berkuasa dapatlah mengambil tindakan sewajarnya bagi menjernihkan suasana dan menghilangkan rasa sangsi penduduk di Langkawi.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!