Sultan Selangor dukacita masih ada umat Islam mudah dipengaruhi maklumat salah

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal dan dukacita apabila semakin ramai umat Islam ketika ini yang terlalu mudah dipengaruhi dengan elemen-elemen negatif terutama ilmu-ilmu yang boleh menyesatkan.
Sultan Sharafuddin bertitah, dalam dunia moden penuh kemudahan dan dunia tanpa sempadan ini, pelbagai kaedah tersedia untuk mendapatkan maklumat sahih, khususnya berkaitan agama Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Kebanyakan buku-buku berkaitan agama Islam yang berada di negara kita ini kebanyakannya telah dicetak dan diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu, termasuk juga di laman-laman sesawang jika dibandingkan ketika zaman beta belajar agama dahulu.
"Pada ketika itu tiada buku ajaran agama Islam yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, cuma kalau ada pun di dalam Bahasa Indonesia yang sukar untuk difahami.
"Umat Islam sekarang pada hakikatnya amat mudah untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama Islam sebenar dengan adanya buku-buku agama Islam terjemahan Bahasa Melayu di pasaran," titah baginda pada Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat malam.
Sultan Sharafuddin turut kesal dan dukacita apabila semakin banyak buku-buku berkaitan agama Islam dikarang dan dicetak di dalam Bahasa Melayu di samping penjelasan oleh para ilmuan Islam, semakin ramai pula orang Islam terperangkap dengan maklumat salah selain mudah terpengaruh dengan dakyah ajaran sesat dan menyeleweng yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Di manakah silapnya kita sehingga kes yang melibatkan pengikut ajaran sesat semakin menjadi-jadi di negara kita ketika ini.
"Umat islam akan ketinggalan di segala aspek kehidupan jika asyik terpedaya dengan ajaran agama yang berasaskan kepada unsur-unsur kurafat dan tahyul.
"Akibat daripada pengaruh-pengaruh yang menyesatkan ini menyebabkan umat Islam semakin berpecah-belah dan mudah ditindas oleh musuh-musuh Islam," titah baginda.
Dalam urusan beragama, baginda turut berpesan agar umat Islam hendaklah sentiasa merujuk kepada pihak yang berautoriti dalam urusan agama dan jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan ajaran atau fahaman songsang yang dibawa oleh sesetengah pihak.
"Perpaduan perlu menjadi teras utama kepada kehidupan umat Islam khususnya orang-orang Melayu. Islam adalah satu agama yang cukup lengkap dan indah serta boleh menjadi asas kepada perpaduan sesebuah masyarakat.
"Pihak berkuasa agama Islam perlu lebih peka di dalam menangani masalah ini dan tindakan undang-undang dan penguatkuasaan perlu diambil dengan lebih berkesan agar gejala ajaran sesat ini tidak terus menjadi duri dalam daging di kalangan umat Islam di negara ini hingga membawa kepada perpecahan," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengajak seluruh umat Islam supaya terus meningkatkan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian dan memperbanyakkan amal ibadah.
"Moga-moga kita akan sentiasa dilindungi Allah SWT serta dijauhi daripada malapetaka dan bencana," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

