Pesara rugi RM229,606 angkara panggilan scam

KUANTAN - Seorang pesara berputih mata apabila semua wang simpanannya RM229,606 lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 58 tahun, menerima panggilan telefon daripada dua individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis pada 25 November tahun lalu.
Menurutnya, pada awalnya, mangsa dimaklumkan telah mengambil ubat secara berlebihan dan siasatan polis akan dijalankan ke atasnya.
"Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor bernama Inspektor Hakim.
"Pegawai tersebut mendakwa bahawa mangsa terlibat dalam dua kegiatan jenayah dan perlu memberi kerjasama dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Yahaya berkata, mangsa diminta menyerahkan butiran akaun banknya dan mengikut arahan supaya memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun tertentu bagi tujuan audit dan siasatan.
Jelasnya, mangsa turut diarahkan untuk memasukkan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) miliknya ke dalam satu kotak kecil.
"Kotak itu perlu diletakkan di atas tong sampah berhadapan Kedai Serbaneka di Pekan dan pihak polis akan ambil kad ATM tersebut.
"Mangsa dimaklumkan setelah siasatan selesai kad bank akan dipulangkan," katanya.
Beliau memberitahu, mangsa telah membuat semakan ke bank dan mendapati 85 transaksi pemindahan wang keluar daripada akaun tersebut berjumlah RM229,606 pada Rabu.
Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, selepas menyedari dirinya ditipu.
Sehubangan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan panggilan telefon yang mencurigakan dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa atau agensi berkaitan.
"Orang ramai juga digalakkan untuk menggunakan portal rasmi Semak Mule bagi menyemak nombor akaun dan nombor telefon yang mencurigakan sebelum
melakukan sebarang transaksi kewangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

