Tempoh 14 hari tamat, Yayasan Kubra bersihkan binaan haram di Rawang petang ini

SHAH ALAM - Yayasan Kubra akan melaksanakan tindakan pembersihan binaan haram di tapak tanah milik berdaftarnya di Rawang Perdana setelah tamat tempoh masa yang diberikan sehingga jam 11.59 malam Selasa.
Pemegang Amanah Yayasan Kubra, Firdaus Wong Wai Hung berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dengan kehadiran penceroboh.
Menurutnya, menerusi pertemuan tersebut persetujuan telah dicapai untuk memberi tempoh 14 hari bermula tarikh 11 Februari 2026 sehingga 24 Februari 2026 untuk mengosongkan segala binaan haram yang bertapak di atas tanah berkenaan.
"Pada asalnya Yayasan Kubra memberi tempoh masa tujuh hari sahaja namun ia dilanjutkan kerana mengambil kira kerjasama penuh diberikan kepada pihak polis ketika itu.
"Bagaimanapun Yayasan Kubra menzahirkan dukacita apabila pihak penceroboh memainkan naratif berniat jahat kononnya mereka diugut dan dipaksa untuk keluar oleh pihak berkuasa bertentangan dengan persetujuan awal.
"Oleh itu, Yayasan Kubra menegaskan selanjutnya bahawa tempoh yang diberikan sehingga jam 11.59 malam ini, maka segala tindakan pembersihan binaan haram di atas tanah milik penuh Yayasan Kubra akan dilaksanakan tanpa notis lanjut," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Sebelum ini media diberitahu, kawasan tersebut merupakan tanah milik yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.
Tambah beliau, segala kos yang dikeluarkan adalah di bawah tanggungjawab dan liabiliti penceroboh.
"Yayasan Kubra berhak melindungi tanah hak miliknya yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang daripafa pencerobohan berterusan," ujarnya.
Dalam masa sama, Firdaus Wong memberitahu, Yayasan Kubra turut menjemput mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu untuk membantu Yayasan Kubra melaksanakan gotong-royong di tapak tanah tersebut pada tarikh 25 Februari 2026 jam 5.00 petang.
"Yayasan Kubra mempunyai amanah untuk membangunkan rumah asnaf dan melaksanakan segala amanah yang telah lama dihalang dan diceroboh selama lapan tahun sejak tahun 2018," ulasnya.
Ringkasan AI
- Yayasan Kubra akan melaksanakan tindakan pembersihan binaan haram di tapak tanah milik berdaftarnya di Rawang Perdana selepas tarikh akhir yang ditetapkan
- Pemegang Amanah Yayasan Kubra telah mengadakan pertemuan dengan IPD Gombak dan penceroboh, memperoleh persetujuan untuk masa pengosongan 14 hari
- Tempoh asal pemberian masa adalah tujuh hari tetapi dilanjutkan berdasarkan kerjasama penceroboh dengan pihak polis
- Kawasan tersebut diceroboh sejak tahun 2018 dan pembersihan bertujuan untuk membangunkan projek rumah asnaf
- Yayasan Kubra mengundang NGO dan individu membantu gotong-royong pembersihan pada 25 Februari 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

