Rancangan 'gila' Trump, Netanyahu mahu ambil alih Gaza perlu dihentikan - Ismail Sabri

SHAH ALAM - Kegilaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mahu mengambil alih serta mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza perlu dihentikan kerana jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tersebut tidak masuk akal kerana jelas menunjukkan langkah untuk melaksanakan pembersihan etnik tanpa menggunakan senjata atau peperangan.
“Sikap dan tindakan Trump ini sama seperti krisis pengusiran penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur oleh Israel sejak 1950-an.
“Ia juga sama ketika peperangan pada tahun 1967 di mana baki tanah Palestin dirampas termasuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
“Ini soal kemanusiaan. Sampai bila kita mahu melihat rakyat Palestin diusir dan dibunuh di tanah mereka sendiri?” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Menteri Pertahanan Israel telah mengarahkan tenteranya untuk menyediakan laluan air, darat dan udara bagi membolehkan penduduk Gaza keluar dari Palestin secara sukarela.
Arahan tersebut dikeluarkan selaras dengan cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menguasai kawasan tersebut dengan memindahkan 2.1 juta penduduk Palestin dengan alasan untuk pembangunan semula Gaza.
Ismail Sabri berkata, pentadbiran AS seharusnya menyalurkan dana dan sumbangan bagi membantu membangunkan infrastruktur asas seperti hospital dan sekolah di Palestin akibat peperangan yang berpanjangan.
“Amat malu jika AS, sebuah negara yang mahukan keamanan di Asia Barat dan sering menyokong hak asasi manusia tetapi kini giat mahu mengusir penduduk Gaza.
“Dunia khususnya negara Islam perlu bangkit dan menentang kegilaan ini. Penyelesaian kekal untuk isu ini hanya satu, berikan hak rakyat Palestin. Usah biar Palestin lenyap dari peta dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!