Mustahil AS dapat ambil alih kuasa di Gaza tanpa perang - Chandra

SHAH ALAM - Hasrat Presiden Donald Trump untuk mengambil alih kawalan di Gaza adalah melanggar prinsip kedaulatan serta hak setiap negara dari aspek undang-undang antarabangsa.
Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar berkata, tiada undang-undang yang membenarkan Trump atau mana-mana individu untuk mengambil alih kawalan di Gaza walaupun secara pencerobohan atau penggunaan kuasa ketenteraan.
“Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal sempadan, wilayah dan kedaulatan mereka. Sesiapa sahaja termasuk Trump tiada hak ambil alih Gaza.
“Sekiranya beliau melakukan pencerobohan atau menggunakan kuasa ketenteraan, ia akan menjadi satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Tindakan itu jelas menunjukkan paksaan untuk merampas wilayah yang bukan miliknya. Oleh itu, mustahil bagi Trump mengambil alih kuasa di Gaza secara aman kecuali beliau melancarkan perang,” katanya kepada Sinar Harian.
Chandra berkata, biarpun Israel membenarkan Gaza diserahkan kepada pihak lain, tindakan itu jelas menyalahi undang-undang.
“Mengikut undang-undang antarabangsa, Gaza dianggap sebagai wilayah yang diduduki (occupied territory) iaitu kawasan dikuasai oleh pihak tidak berhak ekoran perang pada 1967.
“Namun, perang itu tidak memberikan Israel hak untuk menyerahkan Gaza kepada pihak lain. Israel hanya berperanan sebagai kuasa pendudukan di Gaza akibat perang tersebut,” jelas beliau.
Chandra berpandangan bahawa naratif ini hanya propaganda dicipta AS untuk mengalihkan perhatian daripada konflik Israel-Palestin yang berlarutan.
“Biarpun ia sekadar propaganda AS, kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan mereka terus bermaharajalela,” ujar beliau.
Awal Rabu, Trump berikrar, AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Trump mendedahkan rancangannya yang sungguh mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di White House, Washington.
Pengumuman berkenaan menyusuli satu lagi cadangan 'menggemparkan' daripada Trump sebelum itu iaitu memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara-negara jiran secara kekal sambil memanggil Gaza sebagai 'tapak perobohan.'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!