Suaram serah aduan isu tahanan SOSMA Geng TR

KUALA LUMPUR - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai penahanan 32 individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Pengurus Program Suaram, Azura Nasron berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada ahli keluarga 32 tahanan SOSMA terbabit.
Menurutnya, beberapa pelanggaran hak asasi manusia telah dilaporkan oleh ahli keluarga tahanan itu.

"Pada peringkat awal penahanan, kesemua mereka tidak dibenarkan menerima lawatan daripada ahli keluarga walaupun selepas tempoh 48 jam menurut prosedur SOSMA.
"Lawatan tersebut hanya dibenarkan selepas 14 hari ditahan oleh pihak polis, malah menurut ahli keluarga, mereka (tahanan) telah diseksa.
"Walaupun pihak berkuasa sudah dimaklumkan bahawa ada tahanan yang mempunyai masalah komplikasi kesihatan, namun ahli keluarga tidak dimaklumkan status kesihatan mereka," katanya ketika ditemui semasa menyampaikan aduan di Pejabat Suhakam di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mariati Robert dan Ketua Penolong Setiausaha Suhakam, Abdul Rahman Abdullah.
Mengulas lanjut, kata Azura, selepas tempoh 28 hari reman tamat, kesemua tahanan ini tidak dibebaskan tetapi terus didakwa di mahkamah dan dituduh di bawah seksyen 130(v) Kanun Keseksaan iaitu penglibatan dalam suatu kumpulan jenayah terancang iaitu Geng TR.
"Perbicaraan kes mereka dijadualkan bermula pada tahun 2028," dakwanya.
Sementara itu, seorang ahli keluarga dikenali sebagai Logesh berkata, abangnya ditahan pada 4 September tahun lalu.
"Kami anggap akta ini aniaya tahanan dan keluarga. Jika ada bukti tuduh mereka di mahkamah, itu saja kami minta jika tak bagi jamin," ujarnya.
Selain itu, seorang suri rumah yang enggan dikenali mendakwa suaminya menghidapi penyakit kencing manis dan buah pinggang selepas dimasukkan ke penjara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!