[VIDEO] 'Kami bimbang larangan pasang khemah orang betul-betul boikot PD' - Pengusaha

A
A
A

PORT DICKSON - Bimbang Port Dickson betul-betul diboikot pengunjung, pengusaha payung pantai dan sukan air di Pantai Teluk Kemang di sini menggesa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mempertimbangkan semula larangan pemasangan khemah awam di pantai.

Ini kerana sekiranya 'kempen boikot' itu berjaya dilakukan, yang mendapat kesannya adalah mereka.

Malah mereka turut mendakwa sejak ketiadaan khemah biru, pengunjung yang datang tidak semeriah berbanding dahulu.

Pemandangan Pantai Teluk Kemang yang dikatakan pengusaha lengang berbanding cuti sekolah sebelum ini. Gambar kecil dari kiri: Jiva, Mohd Fasly
Pemandangan Pantai Teluk Kemang yang dikatakan pengusaha lengang berbanding cuti sekolah sebelum ini. Gambar kecil dari kiri: Jiva, Mohd Fasly

Pengusaha, Mohd Fadly Mohd Nasir, 40, berkata, peraturan baharu itu mungkin ada baiknya, namun apabila timbulnya ketidak puasan hati ramai, ia mendatangkan kegusaran kepada pengusaha.

Menurutnya, mereka bimbang sekiranya isu khemah terus melanda Port Dickson, pengunjung betul-betul tidak mahu lagi datang ke kawasan peranginan berkenaan.

Pengusaha payung pantai dan sukan air di Pantai Teluk Kemang di sini menggesa Majlis Perbandaran Port Dickson mempertimbangkan semula larangan pemasangan khemah awam di pantai.
Pengusaha payung pantai dan sukan air di Pantai Teluk Kemang di sini menggesa Majlis Perbandaran Port Dickson mempertimbangkan semula larangan pemasangan khemah awam di pantai.

"Bagi pandangan saya, biarlah pengunjung nak pasang khemah pun. Selama ini pun sesiapa nak pasang, kami tak pernah larang pun.

"Cumanya macam saya sendiri, akan tegur jika ada yang memasang khemah di laluan ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia tidak menafikan kebenaran memasang khemah di situ selama ini turut mengundang isu kebersihan dan maksiat.

Oleh sebab itu katanya, tindakan MPPD melarang terus pemasangan khemah awam kemungkinan bagi menghalang perkara terbabit terus berlaku.

Pengusaha hanya dibenarkan buka khemah jika ada pengunjung mahu menyewa.
Pengusaha hanya dibenarkan buka khemah jika ada pengunjung mahu menyewa.

"Jika dulu ada pengunjung yang berkhemah buang lampin pakai buang anak dengan tanam saja dalam pasir dan jika pada waktu malam pula ada yang kencing merata-rata.

"Jadi saya rasa itu salah satu faktor kenapa MPPD haramkan terus khemah. Apa yang berlaku ini juga puncanya disebabkan sikap orang awam yang tak bertanggungjawab juga," katanya yang mengusahakan sewaan khemah dan aktiviti pantai di situ lebih 20 tahun.

Selain itu katanya, sejak ketiadaan khemah biru, pendapatan kebanyakan pengusaha di situ jatuh 70 peratus dan dengan peraturan baharu berkenaan dibimbangi ia akan memberi kesan lebih buruk.

Justeru, dia mencadangkan supaya khemah awam hanya dibenarkan dipasang pada waktu siang saja kerana pemantauan lebih mudah dilakukan.

Suasana Pantai Teluk Kemang ketika adanya khemah biru.
Suasana Pantai Teluk Kemang ketika adanya khemah biru.

"Sebagai pengusaha, kami akur khemah biru digantikan dengan payung dan kami tiada isu dengan itu kerana setidak-tidaknya kami masih dibenarkan berniaga lagi.

"Cumanya sekarang ini bila timbul pula isu pengunjung juga tak dibenarkan pasang khemah, kami risau lama kelamaan Port Dickson akan lengang," katanya.

Pada masa sama dia meminta MPPD supaya menempatkan payung pengusaha di lokasi asal khemah biru sebelum ini.

Ini kerana katanya, tempat baharu ini dilihat kurang strategik.

"Macam saya sebelum ini berniaga di bahagian tengah pantai, tapi sekarang dipindahkan ke pantai 3.

"Khemah ini juga sebenarnya berkaitan dengan bot. Ada orang duduk di khemah, adalah permintaan bot tapi sekarang memang terjejas," katanya.

Dia sendiri terpaksa berhentikan tujuh daripada sembilan pekerjanya kerana tidak lagi mampu membayar gaji mereka.

K Jiva, 56 pula berpendapat, MPPD perlu mempertimbangkan semula larangan berkenaan atau pun memberi sedikit kelonggaran.

Ini kerana katanya, mengharamkan terus pemasangan khemah di situ sebenarnya turut memberi kesan kepada para pengusaha.

"Macam baru-baru ini ada pelanggan yang nak sewa payung saya tetapi pada masa sama mahu pasang khemah camping.

"Bila saya beritahu MPPD tak benarkan, dia terus batalkan hasrat mahu menyewa payung saya dan sudahnya saya yang rugi," katanya.

Disebabkan itu katanya, ia boleh jadi faktor orang boikot datang ke Port Dickson.

Suasana Pantai Teluk Kemang ketika ada khemah biru.
Suasana Pantai Teluk Kemang ketika ada khemah biru.

Jelasnya, ia terbukti apabila gesaan khemah biru 'ditutup' sebelum ini yang disuarakan warganet berhasil sehingga diganti dengan payung pantai ala Bali.

"Kami dah bersyukur sangat bila dapat berniaga semula. Tapi sekarang ini isu pengunjung tak dibenarkan bawa khemah pula.

"Ia buat kami risau kalau pengunjung tak mahu lagi datang ke sini," katanya.

Bagaimanapun kata Jiva berbanding khemah dan payung, pengunjung lebih suka akan khemah kerana ia lebih besar untuk berteduh dan sesuai untuk sesi sekeluarga.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan larangan pemasangan khemah awam yang ditetapkan MPPD di 11 pantai di daerah terbabit mendapat kecaman warganet.

Peraturan itu disifatkan mereka sebagai mengarut dan menyarankan agar kawasan peranginan terbabit diboikot.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!