Larangan pasang khemah elak isu khemah biru berulang - Arul Kumar

Laporan Sinar Harian berhubung ketidakpuasan hati warganet terhadap larangan memasang khemah di pantai Port Dickson. (Gambar kecil: Arul Kumar)
Laporan Sinar Harian berhubung ketidakpuasan hati warganet terhadap larangan memasang khemah di pantai Port Dickson. (Gambar kecil: Arul Kumar)
A
A
A

PORT DICKSON - Peraturan larangan pemasangan khemah awam di pantai Port Dickson bukannya mahu menyekat keseronokan pengunjung, sebaliknya bagi memastikan isu khemah biru tidak kembali berulang.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, sekiranya ia tidak dikawal bermula daripada sekarang, dibimbangi Port Dickson akan terus dihantui dengan isu khemah.

"Kalau kita tak kawal dari sekarang, nanti isu khemah biru di pantai Port Dickson akan berulang semula dan yang akan dipersalahkan ialah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)

"Ini kerana sebelum ini ramai pengunjung menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan kehadiran khemah di situ yang menutup pemandangan dan disebabkan itulah kita tidak benarkan sebarang khemah didirikan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai ketidakpuasan hati warganet berkenaan larangan pemasangan khemah di 11 pantai Port Dickson.

Bagaimanapun katanya, pengunjung masih dibenarkan meletak tikar atau kanvas untuk berkelah sambil mandi manda di pantai yang mereka kunjungi.

Tambahnya, sekiranya mahu menukar pakaian, pengunjung boleh menggunakan kemudahan tandas awam yang disediakan di situ.

"Jadi bagi saya tiada timbul isu nak tukar pakaian atau nak simpan barang menyebabkan pengunjung perlu bawa khemah kerana ada kemudahan tandas awam disediakan.

"Malah kemudahan tersebut juga telah pun ditambah baik bagi memastikan pengunjung lebih selesa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat berlapang dada dengan peraturan baharu berkenaan demi kebaikan semua pihak.

Jelasnya, sekiranya khemah didirikan tanpa ada kawalan, kemungkinan selepas ini pantai Port Dickson akan berdepan pula dengan isu kebersihan.

"Memanglah pantai ini tempat awam, tapi menjadi tanggungjawab PBT iaitu Majlis Perbandaran Port Dickson(MPPD) untuk menjaganya.

"Kalau kawasan pantai kotor, semestinya MPPD yang akan dipersalahkan dan disebabkan itu juga kita tak benarkan buat unggun api," katanya.

Arul Kumar berkata, sekiranya pengunjung mahu mendirikan khemah, mereka boleh pergi ke lokasi lain yang disediakan.

Ditanya berkenaan gesaan warganet supaya memboikot datang ke pantai peranginan terbabit, beliau berkata, sesiapa pun berhak memberi pandangan, namun berdasarkan pemerhatiannya, Port Dickson sentiasa sesak dengan pengunjung setiap hujung minggu terutama musim cuti persekolahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!