Wajarkah larangan pasang khemah awam di pantai Port Dickson?

NAMPAKNYA Port Dickson sudah terkena ‘badi’ khemah. Apa saja isu melibatkan soal khemah di pantai daerah terbabit pastinya akan mendapat kritikan dan kecaman ramai.
Sehingga usaha Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyelesaikan isu khemah biru di Pantai Teluk Kemang dengan menggantikan payung ala Bali pun dianggap masih menyusahkan.
Apa yang pengunjung mahukan adalah kebebasan untuk mereka menikmati keindahan pantai di kawasan peranginan berkenaan seperti mana suatu ketika dahulu.
Ini disebabkan kerana bagi mereka, pantai adalah hak milik awam dan tidak sewajarnya ada sebarang sekatan terhadap sesiapa.
Namun, baru saja Port Dickson reda dengan isu khemah biru, kini hangat semula apabila MPPD mengeluarkan peraturan larangan pemasangan khemah awam di 11 pantai di daerah itu.
Peraturan terbabit bukan saja mendapat kecaman warga maya, malah segelintir mereka turut mengajak orang ramai memboikot lokasi peranginan terbabit.
Tidak sepatutnya isu itu diperbesarkan kerana peraturan berkenaan ditetapkan MPPD bagi memastikan kebersihan kawasan sekitar pantai Port Dickson dan bukannya mahu menyusahkan pengunjung.
Lagi pun sebelum ini pernah tular di media sosial berkenaan sampah yang ditemui di merata-rata tempat di kawasan pantai disebabkan individu tidak bertanggungjawab.
Ada juga yang membiarkan unggun api yang dihidupkan begitu saja sehingga boleh mengundang bahaya.
Semestinya sebelum peraturan tersebut dikeluarkan, pelbagai aspek diambil kira bagi mengelakkan berlakunya kesan yang akhirnya memudaratkan.
Lagi pun menjadi tanggungjawab MPPD sebagai pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kawasan pantai di daerah itu terjaga rapi lebih-lebih lagi Port Dickson merupakan kawasan tarikan pelancong.
Bagaimanapun, MPPD mungkin boleh mempertimbangkan semula larangan pemasangan khemah awam terbabit misalnya memberi kelonggaran kepada khemah bersaiz kecil. Ini bagi memastikan peraturan itu lebih relevan.
Mungkin juga boleh diwujudkan serta diuarkan-uarkan kawasan pantai yang dibenarkan memasang khemah supaya pengunjung mempunyai pilihan untuk menikmati pantai di sana dengan lebih gembira.
Hakikatnya memang sukar untuk memuaskan hati semua orang dan dalam isu khemah ini semestinya yang menjadi mangsa kecaman adalah MPPD dan kerajaan negeri.
Namun, rungutan yang disuarakan orang awam perlu juga diberi perhatian oleh MPPD kerana dibimbangkan ia boleh memberi imej lebih buruk kepada Port Dickson.
Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!