Ilmu paksi pembangunan

Amirudin menyatakan Program Dialog Shah Alam salah satu manifestasi semangat yang dilontarkan pada 2019
Amirudin menyatakan Program Dialog Shah Alam salah satu manifestasi semangat yang dilontarkan pada 2019
A
A
A

Program Dialog Shah Alam salah satu manifestasi semangat yang dilontarkan pada 2019. Pada tahun tersebut, saya mengumumkan dan melaksanakan beberapa dasar baharu. Dasar itu termasuklah Dasar Klusterisasi Ekonomi yang kemudian menjadi sebahagian Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Salah satu perkara yang sangat konsisten saya sebutkan adalah Selangor harus membangun dengan asas keilmuan dan paksinya adalah pendidikan.

Ada negeri menjadikan pelaburan asing sebagai paksi kemajuan ekonominya. Ada pula membangunkan ekonomi berasaskan sektor pertanian, perkembangan tenaga kerja, dan pelaburan bernilai tinggi.

Selangor mengecapi semua kemajuan ini semenjak awal 1990-an sehinggalah kita berdepan beberapa krisis dan sebagainya.

Namun daripada pengalaman lepas, apabila saya berbincang dengan pelabur asing dan usahawan tempatan dan antarabangsa, masalah utama yang sering dibangkitkan, adakah kita memiliki sumber manusia bertepatan dengan asas pembangunan pelaburan tersebut?

Justeru, pendidikan harus menjadi asas penting bagi negeri kita agar kita dapat bertahan dengan lebih lestari, menjadi antara penyumbang ekonomi terbesar, dan kekal sebagai gedung ekonomi terbesar negara.

Lantaran itulah lahirnya program seperti Dialog Shah Alam. Tiga entiti bekerjasama menjayakan program ini iaitu Universiti Selangor (Unisel), Selangor Research Institute (SRI) dan Institut Darul Ehsan (IDE) yang ditubuhkan sembilan tahun lalu sebagai inisiatif meratakan keilmuan dalam pelbagai kaedah.

Unisel sebagai universiti memiliki disiplin, kaedah, dan tatacara rasminya perlu mematuhi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan menuruti peraturan universiti.

IDE yang telah lama membantu negeri merupakan sebuah badan bebas yang ada hubungan dengan kerajaan negeri, menjalankan kajian pendapat, menganjurkan forum, majlis kebudayaan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Saya menubuhkan SRI pula kerana memikirkan keperluan untuk negeri memiliki sebuah badan kajian rasmi yang menumpukan pada dasar-dasar kerajaan, baik yang kecil, rinci mahupun besar, daripada dasar adaptasi iklim sehingga dasar kitar semula, dasar ekonomi kitaran, dasar ekonomi penjagaan dan lain-lain.

IDE sebagai badan bebas yang ada hubungan dengan kerajaan boleh mengkritik kerajaan negeri dalam apa perkara sekalipun. SRI juga boleh mengkritik tetapi dalam ruang lebih tertutup.

Unisel boleh menterjemah dan menggariskan semua ini dalam pelbagai bidang keilmuan untuk dikaji dan dirangka secara menyeluruh.

Hasil gabungan inilah, maka lahirnya Dialog Shah Alam. Dialog ini menjadi satu penglibatan dari pelbagai latar: SRI menjalankan kajian rasmi; IDE menjalankan kajian bebas di luar yang berhubung terus dengan masyarakat awam dan badan bukan kerajaan; sehinggalah Unisel yang mengkaji secara teliti melalui kaedah ilmu tersendiri.

Pengukuhan tamadun

Kerjasama inilah sebenarnya lahir dalam tamadun besar dan bertahan lama. Selangor pula bercita-cita untuk kekal pada kedudukan sekarang, bukan hanya bergantung kepada pelaburan asing tetapi bagaimana memahami fungsi pelaburan agar dapat mengukuhkan pencapaian negeri dan rakyat.

Sewaktu muda, saya agak terpengaruh dengan fungsi intelektual awam. Saya melihat bagaimana fungsi intelektual awam yang tidak mempunyai disiplin ilmu sebagaimana ahli akademik tetapi terlibat dalam soal pemikiran dan bekerjasama dengan golongan inteligensia atau ahli akademik. Menurut tafsiran Syed Hussein Alatas, misalnya, penglibatan sebegini akan melahirkan pemikiran dan pengembangan ilmu yang kukuh dalam masyarakat.

Saya ambil satu contoh, saya baru pulang dari wilayah Suzhou. Wilayah ini dahulunya terkenal sebagai perkampungan nelayan. Namun kini Suzhou berkembang sebagai bandar perindustrian teknologi. Bandar ini memiliki institut nanoteknologi, institut kecerdasan buatan (AI), dan pelbagai institut lain termasuk lebih 38 universiti di seluruh wilayah tersebut.

Saya berkunjung ke pusat nanoteknologinya. Apa yang menyokong sektor teknologinya bukan dapatan akhir tetapi lebih 100 pengkaji tegar dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah pemegang doktor falsafah (PhD) yang mengkaji dan melahirkan bahan atau kajian nanoteknologi yang seterusnya disesuaikan dengan pembangunan teknologi baharu dan menjadi pemegang hak cipta intelek yang besar di China.

Pada hari ini, kita berdepan situasi lebih rumit. Ini bukan hanya melibatkan institusi pemikiran, pengkajian sains, teknologi dan matematik yang agak lemah dalam negara kita tetapi merangkumi isu lebih besar.

Maka kita ingin melihat sebuah kerangka besar bagi meletakkan negara dan negeri pada kedudukan yang betul di tengah-tengah hiruk-pikuk geopolitik Trump 2.0 yang awal-awal lagi hendak mengenakan tarif 100 peratus kepada barangan China, konflik Timur Tengah yang tiada berkesudahan, konflik berpanjangan China-Taiwan yang memberi kesan kepada Asia Tenggara dan banyak lagi.

Kita harus merencana kedudukan kita saat dunia sedang berterabur, keliru, dan tidak tentu arah, yang disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai post-normal, yang dipinjam daripada intelektual terkenal Ziauddin Sardar. Saya bersetuju dengan pandangan ini tetapi kita harus juga meneroka pandangan-pandangan lain.

Kerana dunia hari ini tidak lagi dikawal oleh satu kuasa, tetapi sudah menjadi multipolar dan bertembung. Adakah dunia multipolar akan menggalakkan perang? Kalau berlaku perang bagaimana kedudukan kita? Adakah keadaan ini akan berterusan atau bagaimana?

Justeru, kita perlu memahami senario dunia secara keseluruhan. Misalnya, bagaimana kita menempatkan negara kita dalam BRICS pada saat Amerika rakan dagang terbesar negara kita dan tidak ketinggalan juga China yang meningkat sebagai pasaran utama kita sejak 15 sehingga 20 tahun lepas.

Sekurang-kurangnya kesedaran asas tentang semua perkara ini perlu disampaikan kepada rakyat dan saya percaya dialog seperti inilah yang membantu kita menterjemahkan kepada rakyat supaya mereka lebih faham dan mengerti tentang tindak-tanduk kerajaan.

*YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dilantik Menteri Besar Selangor sejak 2018

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!