'Sorok bawah singki, belakang tilam'

KUALA LUMPUR - Hasrat konon mahu elak dikesan daripada dicekup hingga sanggup bersembunyi di bawah singki dan belakang tilam hanya sia-sia apabila ditahan di sini, pada Selasa.
Serbuan Op Sapu itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di rumah kediaman tiga tingkat di Jalan Metro Perdana Timur 2, Off Jalan Kepong, di sini, bermula kira-kira jam 12.15 tengah malam.
Semasa operasi, terdapat cubaan warga asing yang dipercayai sengaja membuka lewat pintu ketika diketuk pegawai operasi bagi pemeriksaan.
Lebih menariknya, seorang lelaki warga Bangladesh dikesan menyorok di belakang tilam serta warga Myanmar yang menyorok di celah baldi di bawah singki.
Ketika ditanya, kedua-dua warga asing terbabit bertindak sedemikian kerana takut ditangkap.

"Tolong, saya takut ditahan. Terkejut Imigresen ketuk pintu saja," kata lelaki warga Myanmar terbabit yang disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 136 individu diperiksa sepanjang operasi lebih dua jam.
Katanya, hasil pemeriksaan bertindak menahan 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 10 wanita.
"PATI yang ditahan membabitkan 56 warga Myanmar, tiga Bangladesh, tiga Pakistan serta dua Vietnam," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
