Tengku Hassanal nasihat pelajar jauhi sindrom 3K

Tengku Hassanal (depan, empat, kanan) berkenan bersama robot yang memegang poster Jom Masuk IPT ketika merasmikan program itu di UMP hari ini. -Foto Bernama
Tengku Hassanal (depan, empat, kanan) berkenan bersama robot yang memegang poster Jom Masuk IPT ketika merasmikan program itu di UMP hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan pelajar universiti untuk menjauhi sindrom 3K iaitu kuliah-kafeteria-katil semasa menuntut ilmu.

Baginda bertitah pelajar universiti juga perlu mempunyai kesedaran untuk melengkapkan diri dengan kemahiran lain dan tidak lagi bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik cemerlang untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

"Saya menyeru kepada adik sekalian untuk meningkatkan kemahiran seperti kepimpinan, pengucapan awam, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta membina keyakinan diri yang amat diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan.

"Dalam masa sama, jangan lupa adab dan budi budi bahasa kita...berbaik-baik sesama sendiri dan jangan lupa untuk rajin belajar. Jika masuk ke universiti tetapi malas, buat apa kita berada di sini? Sentiasa berfikiran positif dan buatlah ibu bapa bangga," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa melancarkan Program Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Canselor UMP Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Baginda juga merakamkan tahniah kepada pengurusan dan pentadbiran UMP atas kejayaan yang dicapai sebelum ini dan berharap mereka terus komited dalam memajukan universiti dengan penuh amanah demi pendidikan generasi masa depan negara.

"Jatuh bangun negara kita terletak pada belia masa kini dan kerajaan bertanggungjawab memastikan semua universiti dan institusi pengajian tinggi mempunyai infrastruktur terbaik termasuk dalam aspek tenaga pengajar supaya proses pembelajaran dan penyelidikan berjalan dengan cekap," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Tengku Hassanal juga menitahkan supaya pihak yang terlibat untuk memberi fokus kepada kebolehpasaran graduan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin berkata program dua hari mulai hari ini, disertai 100 pempamer termasuk 20 universiti awam, intitusi pengajian tinggi swasta, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam.

"Program kali ini juga disertai pihak matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPGM) dan pelajar yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setara boleh mendapatkan maklumat berhubung kursus diminati. Penjualan nombor pin unik ID UPU akan bermula pada 24 Februari ini," katanya.

Wahi berkata, program itu yang telah dilaksanakan di Johor sebelum ini, akan dianjurkan di beberapa buah lagi negeri sebelum berakhir di Serdang, Selangor pada 28 Mac ini. - Bernama