Subsidi RM300 bagi tiket penerbangan pelajar universiti awam

Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melaksanakan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa 15 Ogos depan.

Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka memanfaatkan seramai lebih 56,000 pelajar daripada universiti awam dengan implikasi kos keseluruhan berjumlah RM16.8 juta.

"Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian 'creadit shell' di mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan laluan tersebut," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihak kementerian telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan bagi memperincikan pelaksanaan itu.

"Terma dan syarat bagi bantuan subsidi tiket penerbangan ini antaranya pelajar yang layak adalah warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada tahun 2023 dalam kategori berasal dari Sabah, Sarawak atau Labuan yang sedang menuntut di Semenanjung.

"Begitu juga pelajar yang berasal dari Semenanjung dan menuntut di Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya.

Anthony berkata, turut menikmati subsidi berkenaan adalah pelajar dari Sabah yang menuntut di Sarawak dan Labuan, pelajar Sarawak menuntut di Sabah dan Labuan serta pelajar Labuan yang menuntut di Sabah dan Sarawak.

"Subsidi ini hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal dan tempat pelajar sedang menuntut.

"Ia boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirline," katanya.

Ujar beliau, penebusan akhir baucar pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober dan perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

"Pelaksanaan inisiatif ini dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti semester pengajian," katanya.