Pembaharuan sistem penjara elak tragedi jenayah - Badan Peguam Malaysia

Mohamad Ezri Abdul Wahab
Mohamad Ezri Abdul Wahab
A
A
A

SHAH ALAM - Pembaharuan sistem penjara negara secara menyeluruh perlu dilakukan bagi mengelakkan tragedi dan menangani punca utama jenayah.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pembaharuan sistem penjara negara termasuk meningkatkan mekanisme pelaksanaan hukuman alternatif.

Menurutnya, salah satu pilihan tersebut ialah pelaksanaan perintah kehadiran wajib yang lebih meluas di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660).

"Menubuhkan lebih banyak Pusat Kehadiran Wajib di seluruh Malaysia dapat membantu pesalah menjalani hukuman berstruktur dan bukannya di tempat yang penuh sesak serta kekurangan kemudahan.

"Sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan anjakan paradigma. Hukuman penjara bukanlah satu-satunya cara pemulihan yang berkesan dan tanggapan itu perlu dijauhi.

"Sebaliknya, bentuk hukuman alternatif harus dipertimbangkan untuk mendapatkan keadilan dan menyatupadukan semula pesalah dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, lebih 50 orang terdiri ahli keluarga dan waris berkumpul di hadapan Penjara Taiping menuntut siasatan dan tindakan diambil pihak berkuasa.

Perhimpunan dianjurkan sebuah parti politik itu dibuat berikutan dakwaan berlakunya kekasaran terhadap lebih 100 banduan tahanan hingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia.

Tambah Mohamad Ezri, jika disahkan, kejadian itu merupakan satu pencabulan hak asasi manusia dan penghinaan terhadap prinsip keadilan yang sepatutnya dipegang oleh sistem perundangan negara.

Artikel Berkaitan:

"Setiap individu tanpa mengira status berhak mendapat hak asasi manusia termasuk hak untuk hidup, keselamatan peribadi dan bebas daripada layanan atau hukuman yang tidak berperikemanusiaan atau merendahkan martabat.

"Jadi, siasatan mesti dijalankan dengan penuh ketelusan dan penemuannya mesti didedahkan kepada umum. Mereka yang didapati bertanggungjawab atas kejadian tragis ini mesti diambil tindakan mengikut undang-undang.

"Prinsip kesaksamaan dan tanpa diskriminasi adalah asas kepada kedaulatan undang-undang dan keadilan mesti dilaksanakan tanpa pengecualian," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!