'Saya ingat sudah sampai ajal'

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] 'Saya ingat sudah sampai ajal, mujurlah ALLAH SWT masih panjangkan usia,' luah seorang penternak yang cedera akibat diserang beruang di ladang sawit dekat Kampung Telembuh, Jerangau Sungai, Dungun Khamis lalu.
Nik Azehar Daud, 40, berkata, dia tidak menyangka rutin menggembala kerbau di kawasan berkenaan menjadi mimpi ngeri selepas diterkam haiwan liar tersebut.
Menurutnya, insiden itu berlaku sekelip mata, namun dia bernasib baik kerana berjaya menyelamatkan diri selepas mencapai parang dan menikam beruang tersebut.

"Selepas beruang itu lari, dalam keadaan berlumuran darah, saya segera hubungi abang saya yang berada di kawasan hutan berdekatan ladang sawit itu.
"Abang saya tiba bersama beberapa rakan dan bergegas membawa saya ke hospital," katanya ketika ditemui Sinar Harian di wad Hospital Sultanan Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada petang Sabtu.
Bapa kepada empat anak itu berkata, keadaannya kini semakin baik selepas menerima beberapa jahitan pada bahagian betis, lengan, tangan dan belakang leher.
"Malam tadi saya telah jalani pembedahan untuk jahit dua lubang taring bekas gigitan beruang pada bahagian belakang leher.

"Saya tak pasti berapa jahitan diterima kerana semua tempat yang cedera masih lagi berbalut.
"Hari ini masuk hari keempat saya dirawat di hospital dan belum pasti lagi bila akan dibenarkan pulang ke rumah," katanya yang ditemani isteri, Roshuhaida Mukhtar, 39.
Nik Azehar memberitahu, kejadian diserang beruang kali pertama dialami sejak memelihara kerbau di kawasan itu kira-kira 30 tahun lalu.

Jelasnya, sebelum ini dia pernah mengesan beberapa tapak kaki beruang pernah di kawasan itu namun tidak melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memandangkan ia berdekatan dengan hutan.
"Saya ternak hampir 50 ekor kerbau. Waktu kejadian saya sedang pantau kerbau-kerbau itu agar tidak masuk ke pagar Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
"Saya tak sedar beruang ni datang terkam dari belakang, mungkin juga ketika saya datang ke situ ia sudah memerhatikan saya," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan kini sedang memantau kawasan tersebut.
"Buat masa ini tiada keperluan untuk memasang perangkap di kawasan itu kerana berdasarkan siasatan tempat serangan berada dalam kawasan hutan simpan.
"Bagaimanapun, pihak Perhilitan Dungun masih melakukan pemantauan di kawasan itu," katanya.
Pada Khamis lalu, media melaporkan seorang lelaki cedera parah diserang beruang ketik sedang berehat bawah sebatang pokok di ladang berkenaan sekitar jam 11 pagi.
Mangsa keluar ke ladang sawit tersebut kira-kira jam 9 pagi untuk memantau kerbau peliharaan daripada memasuki LPT2 yang terletak di kawasan berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
