X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada masalah golongan kaya kahwin orang miskin

Muka depan Sinar Harian semalam.
A
A

SHAH ALAM - Saranan perkahwinan melibatkan golongan kaya dengan miskin bagi mengurangkan kadar kemiskinan tidak menjadi masalah terutama jika lelaki kaya itu masih bujang.

Pakar kaunseling, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, jodoh dan pertemuan adalah ketentuan ALLAH dan tidak ada salahnya jika golongan kaya memilih pasangan daripada golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun katanya, pokok pangkal perkara itu juga adalah bergantung kepada pegangan keluarga masing masing yang kadang kala mengambil kira status kekayaan dan hanya mahu menjodohkan anak mereka dengan pasangan yang setaraf.

"Kadang kadang keluarga kaya ini memadankan anak-anak mereka dengan pasangan yang setaraf sebab hendak jaga standard. Tetapi tidak ada salahnya jika anak mereka berkahwin dengan golongan berpendapatan rendah.

"Ini kerana, melalui perkahwinan sekurang-kurangnya dapat untuk mengeluarkan seseorang wanita itu dari kepompong kemiskinan, sekali gus dapat mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai saranan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy yang mencadangkan individu kaya berkahwin dengan golongan miskin dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di republik itu.

Abd Halim berkata, dari sudut positif perkahwinan antara yang kaya dengan orang miskin itu boleh membantu golongan berpendapatan rendah tetapi dari sudut negatifnya bimbang berlakunya penghinaan sekiranya jurang antara pasangan terlalu jauh.