Kumpulan pelabur disokong Mr Beast kumpul RM120 bilion bida TikTok

NEW YORK - Sekumpulan pelabur dari Amerika Syarikat (AS) yang disokong Youtuber terkaya dunia, Mr Beast atau nama sebenar Jimmy Donaldson berjaya mengumpulkan dana melebihi RM120 bilion bagi bersaing membida pembelian platform media sosial popular, TikTok.
Usahawan teknologi menguruskan bidaan tersebut, Jess Tinsley berkata, kumpulan pelabur berkenaan turut menarik penyertaan dua Ketua Pegawai Eksekutif teknologi tambahan sebagai pelabur, termasuk pengasas bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Roblox, David Baszucki dan CEO Anchorage Digital, Nathan McCauley.
Bagaimanapun, sehingga kini pihaknya tidak pernah berhubung secara langsung dengan syarikat induk TikTok, ByteDance yang berpusat di China dan menegaskan perniagaan aplikasi itu di AS tidak dijual.
“Kami masih tidak menerima sebarang maklum balas secara langsung dan pihak mereka masih tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Presiden AS, Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang yang mengharamkan TikTok jika ByteDance menjual sahamnya.
Tindakan Trump itu turut disusuli dengan pelbagai cadangan untuk membeli aplikasi berkenaan bagi memastikan ia terus beroperasi di negara tersebut.
Justeru, Tinsley berpendapat, ByteDance mungkin akan lebih bersikap terbuka dan memulakan perundingan bagi menyelamatkan TikTok di AS.
“Ini adalah untuk memastikan kestabilan TikTok dan meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk pengguna dan integriti data seluruh populasi AS,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

