Bangunkan semula Gaza demi keamanan dunia sejagat

SHAH ALAM - Hasrat Malaysia melaksanakan pembangunan semula Gaza merupakan langkah tepat menzahirkan rasa tanggungjawab, keprihatinan dan empati sekali gus bersesuaian demi keamanan dunia sejagat.
Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis (IEIJS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Aminurraasyid Yatiban berkata, hasrat itu turut menggambarkan pendirian Malaysia yang konsisten dalam mempertahankan hak mangsa ditindas khususnya membabitkan rakyat Palestin.
“Dalam hal ini, sebagaimana yang saya sebut tadi, pendirian Malaysia memang konsisten daripada awal tercetus konflik even sebelum merdeka sekalipun, pendirian rakyat Malaysia waktu itu Tanah Melayu adalah sangat konsisten dalam usaha untuk membantu mempertahankan hak-hak mereka dizalimi dalam konteks ini adalah di Palestin... membantu mangsa pelarian Rohingya dan mangsa peperangan Bosnia, hal ini mungkin menunjukkan Malaysia lebih dihormati.
“Dalam masa sama, kita tidak perlu bimbang sekiranya wujud tekanan dari mereka yang berpihak kepada Israel contohnya... tetapi dengan pendirian kita yang jelas, kita bukan mengambil sikap memusuhi mana-mana pihak tetapi cuba untuk membina satu pendekatan yang lebih tepat, empati dan bersesuaian untuk keamanan dunia sejagat,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam konteks Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, Aminurraasyid berpandangan, ia mungkin akan memberikan impak yang signifikan memandangkan negara anggota bukan setakat terdiri dalam kalangan negara Islam semata-mata.
“Ini boleh membuka ruang dengan menarik sokongan rakan lain yang mungkin sebelum ini mengambil sikap sama ada berpihak kepada Israel ataupun mereka yang tidak berpihak tetapi mudah-mudahan dengan komitmen dalam usaha membantu Gaza boleh menyatukan masing-masing atas dasar kemanusiaan... dalam masa sama, bila cuba bangunkan semula, juga akan ada komitmen untuk mempertahankan pembangunan semula yang berkenaan insya-ALLAH.
“Jadi peranan Malaysia akan lebih terserlah dengan kita mengetuai misi pembangunan semula Gaza,” katanya.
Biarpun terdapat pandangan awal beberapa pihak yang kurang bersetuju dengan hasrat pembangunan semula Gaza berbanding memberi perhatian terhadap kebajikan negara sendiri, Aminurraasyid berkata, ini masa yang sesuai untuk pemimpin beri penjelasan bahawasanya ia langkah wajar melaksanakan tuntutan tanggungjawab kemanusiaan terhadap mereka yang memerlukan untuk membina semula kehidupan selepas melalui fasa kemusnahan harta benda dan kehilangan ahli keluarga.
“Ini masa mereka memerlukan bantuan, kalau suatu hari nanti mungkin kita pula yang diuji, mohon dijauhkan, maka insya-ALLAH dengan keprihatinan, kemurahan hati kita, komitmen kita, lebih banyak lagi mereka yang akan bersedia untuk membantu kita di kala kita mungkin memerlukan bantuan nanti,” ujarnya.
DIPLOMATIK
Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, inisiatif pembangunan semula Gaza berpotensi membuka jalan diplomatik yang lebih luas kepada Malaysia.
Menurutnya, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan komitmen dalam usaha itu adalah satu langkah tepat dan berani.
“Tidak diragui, penyertaan Malaysia untuk pembangunan semula Gaza ini akan membuka langkah yang lebih banyak juga untuk negara-negara lain misalnya, Jepun sendiri pun mungkin antara negara yang telah menyatakan komitmen terhadap pembangunan semula Gaza.
“Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri seorang yang konsisten dalam memperjuangkan rakyat Palestin, memang diakui suara beliau di dunia, malah negara-negara Arab yang kaya-raya seperti UAE, Saudi pun sebenarnya seolah-olah memberi mandat kepada Datuk Seri Anwar kerana beliau mewakili suara Islam,” ujarnya.
Menurut Mazlan, tohmahan pengkritik yang menyatakan usaha pembangunan semula di Gaza adalah langkah salah disifatkan sebagai kurang tepat.
“Tindakan Malaysia membantu Gaza ini sebenarnya bukan hanya dari sudut solidariti keagamaan semata-mata kerana manfaat yang kita akan dapat lebih besar daripada itu adalah dari segi mungkin Malaysia akan lebih dihargai oleh negara-negara yang bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin dan secara tak langsung mereka akan membuka langkah diplomatik dan juga kerjasama ekonomi yang lebih luas dengan Malaysia.
“Sudah pasti negara-negara Arab yang mereka ini tidak boleh ke hadapan dalam isu Palestin mungkin disebabkan kepentingan triti dengan Barat dan sebagainya, maka bila mereka melihat usaha Malaysia ini pasti akan memberi sokongan dari sudut pelaburan...misalnya baru ni Abu Dhabi Investment Authority mengadakan komitmen untuk terus melabur di Malaysia,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

