Pas syor langkah bangunkan semula Gaza dibentang di Parlimen

Hantaran Ahmad Fadhli di Facebook pada Ahad.
Hantaran Ahmad Fadhli di Facebook pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengesyorkan agar langkah Malaysia untuk membangunkan semula Gaza dengan pembinaan sekolah dan hospital dibentangkan secara terperinci di Parlimen bagi memastikan adanya ketelusan dan untuk meraih keyakinan semua pihak.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dengan cara itu, perancangan, sumber dana serta mekanisme pelaksanaannya dapat diperjelaskan, sekali gus mengukuhkan sokongan rakyat terhadap usaha itu.

"Langkah membina sekolah dan hospital di Gaza perlu disokong sebagai sebahagian daripada komitmen kemanusiaan Malaysia terhadap rakyat Palestin yang sedang menderita akibat serangan berterusan.

"Ini bukan sekadar bantuan luar, tetapi satu tanggungjawab moral yang selari dengan dasar luar negara kita yang konsisten menyokong perjuangan Palestin," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz pada Khamis lalu menyarankan kerajaan supaya memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza.

Ia berikutan komitmen disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.

Ekoran itu, beberapa pihak tampil menyelar pandangan Rafidah termasuk Jabatan Pemahaman Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Ahmad Fadhli menegaskan, kecaknaan negara kepada isu antarabangsa bukan mencerminkan kebajikan rakyat tidak dipedulikan.

"Bagi pihak yang berpendapat Malaysia harus fokus isu dalam negara dahulu, adalah ditegaskan bahawa keprihatinan terhadap isu global tidak bermakna kita mengabaikan keperluan rakyat sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia telah lama mengamalkan dasar membantu dalam dan luar negara secara seimbang, seperti yang terbukti dalam pelbagai misi kemanusiaan sebelum ini," ujarnya.

Justeru, katanya lagi, Malaysia mesti terus menjadi suara yang lantang dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan menyumbang ke arah pembangunan semula Gaza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!