Menunjuk-nunjuk penyakit jerat diri

RAMAI yang naik seram apabila tengok gaya hidup anak muda zaman sekarang yang kelihatan semakin mahu mengejar status.
Segelintir mereka gemar menonjolkan kehidupan serba mewah, hidangan mahal di kafe eksklusif, beg berjenama dan bercuti sakan sana sini yang kononnya menepati estetik anak muda sekarang.
Ada yang beranggapan dengan cara itu mereka dapat kekal relevan mengikut trend dan menjadi perhatian para pengikut masing-masing.
Namun, realitinya jauh berbeza. Semuanya itu dibiayai dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan paling mengejutkan dipinjam daripada ibu bapa atau rakan-rakan.
Mereka ini bukan sahaja hidup di luar kemampuan tetapi juga terperangkap dalam kitaran kewangan yang berbahaya semata-mata untuk mengekalkan imej mewah.
Hal ini terjadi kerana mereka senang terpengaruh dengan budaya flexing atau menunjuk-nunjuk yang berlaku bukan secara kebetulan.
Salah satu punca utama adalah pengaruh media sosial seperti Instagram dan TikTok yang menjadi ruang untuk mempamerkan kehidupan serba mewah.
Mereka ini sering merasakan perlu bersaing untuk kelihatan 'lebih bergaya' daripada orang lain.
Apa tidaknya, setiap tanda suka, komen dan pujian menjadi motivasi untuk mereka terus menunjuk-nunjuk walaupun hakikatnya kewangan ibarat kulit bawang, nipis.
Sungguh, mereka yang melihat sering berasa iri hati, sedangkan mereka yang berpura-pura pula hidup dalam tekanan.
Tetapi persoalannya, adakah ia benar-benar membahagiakan? Hakikatnya, ramai yang terjebak ini hanya menikmati kepuasan sementara tetapi terpaksa menanggung beban hutang untuk jangka masa panjang.
Natijahnya penyakit biar papa asal bergaya ini membawa kesan besar, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga emosi dan sosial.
Mereka ini berdepan masalah hutang yang serius demi untuk mengekalkan gaya hidup tidak ubah seperti golongan elit.
Justeru, tidak mustahil pinjaman peribadi menjadi punca utama kes kebankrapan khasnya membabitkan golongan muda di negara ini dengan 49.11 peratus atau 15,413 kes direkodkan tahun lalu.
Amalan gaya hidup mewah mendorong golongan muda terbabit membuat permohonan memiliki lebih daripada satu kad kredit dan menggunakan kemudahan itu tanpa kawalan, menyebabkan mereka akhirnya terjerat dengan hutang yang gagal dibayar sehingga diisytiharkan muflis.
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi (MDI), Datuk M Bakri Abd Majid berkata, kadar faedah kad kredit yang tinggi antara 15 hingga 18 peratus setahun menyebabkan beban membayar hutang semakin sukar terutama bagi mereka yang baru mendapat pekerjaan.
Beliau berkata, sebagai contoh, MDI merekodkan sebanyak 2,776 kes bankrap akibat pinjaman peribadi sepanjang tahun lalu, iaitu meningkat berbanding 2,225 kes pada 2023.
Kebanyakan golongan muda yang terbabit berusia antara 25 hingga 44 tahun.
Golongan muda sememangnya mudah tertarik dengan gaya hidup mewah dan kegagalan mengurus kewangan dengan baik menyebabkan mereka terjerumus ke dalam hutang pinjaman yang tidak dibayar sehingga akhirnya muflis.
Dari segi kesihatan mental pula, tekanan untuk terus kelihatan berjaya boleh mengakibatkan stres yang kronik.
Rasa cemas kerana tidak mampu membayar hutang atau bimbang imej palsu terbongkar sering menghantui mereka yang terperangkap dalam gaya hidup ini.
Bayangkan mereka bangun setiap pagi dengan perasaan takut kerana hutang yang semakin bertambah.
Malah ada yang kemurungan dan akhirnya hilang semangat untuk memperbaiki kehidupan.
Justeru, ada benarnya pepatah ukur baju di badan sendiri. Berbelanjalah ikut kemampuan masing-masing.
Orang yang bijak urus kewangan akan sentiasa mendahulukan keperluan berbanding kehendak.
Apabila keperluan asas terurus, kita akan rasa lebih tenang dan tidak tertekan dengan masalah kewangan.
Tanpa perancangan bajet bulanan, gaji sebesar mana pun boleh habis begitu sahaja sebelum hujung bulan.
Pada penulis, berjimat tidak semestinya kita perlu hidup dalam keadaan serba kekurangan atau tidak menikmati kehidupan.
Carilah cara untuk mengurangkan perbelanjaan tanpa menjejaskan kualiti hidup.
*Azie Yahaya ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
