Kelas Tabika lebih kapasiti: Cabaran pendidikan awal kanak-kanak

Laporan Sinar Harian mengenai keperluan Tabika Kemas bagi menampung sesi persekolahan tahun ini.
Laporan Sinar Harian mengenai keperluan Tabika Kemas bagi menampung sesi persekolahan tahun ini.
A
A
A

PENINGKATAN luar biasa kemasukan ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di kawasan bandar mencerminkan perubahan besar landskap pendidikan awal kanak-kanak serta realiti sosial masyarakat hari ini.

Secara asasnya, purata maksimum murid bagi setiap kelas Tabika ditetapkan sekitar 25 orang (mengikut keluasan), namun terdapat kelas yang menempatkan sehingga 40 kanak-kanak.

Situasi itu wajar dilihat sebagai ‘lampu kuning’ terhadap keupayaan sistem sedia ada untuk menampung permintaan yang semakin meningkat di kawasan padat.

Permohonan memasuki Tabika saban tahun makin meningkat berikutan yurannya yang rendah, lokasi berhampiran komuniti serta kualiti pendidikannya setara dengan swasta.

Lonjakan permintaan itu juga menunjukkan jurang ketara antara kawasan bandar dan pedalaman sekali gus memberi gambaran jelas tentang tumpuan migrasi penduduk ke bandar, selain perubahan corak pekerjaan ibu bapa yang semakin memerlukan kemudahan penjagaan dan pendidikan awal yang sistematik.

Dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak, jumlah murid yang terlalu ramai dalam satu kelas bukan isu kecil.

Ia memberi kesan langsung terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran, tahap tumpuan kanak-kanak, keselamatan serta beban tugas guru.

Situasi itu juga menuntut perancangan lebih strategik dan bersifat jangka panjang yang mana antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah penambahan kelas atau pembukaan Tabika Kemas baharu di kawasan bandar berpenduduk padat dan penambahan tenaga pengajar.

Justeru itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohd Hanafiah Man memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, jabatan tanah dan agensi berkaitab untuk mengenal pasti lokasi strategik pembinaan premis baharu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tujuh bangunan baharu Tabika dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) telah disenaraikan kelulusan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) manakala 107 projek pembinaan baharu diluluskan menerusi RMK-12.

Perancangan rapi Kemas membuag penambahan kapasiti secara berperingkat, mampu memberi pendidikan awal yang berkualiti dan seimbang untuk semua.

Pada masa sama, pelaksanaan projek perintis Tabika Tunas Istimewa@KEMAS bagi kanak-kanak berkeperluan khas wajar dipuji.

Sasaran membuka sekurang-kurangnya sebuah Tabika Tunas Istimewa bagi setiap Parlimen, jika direalisasikan mampu menjadi penanda aras baharu kepada sistem pendidikan awal kanak-kanak negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!