Cabaran media sosial terhadap generasi muda

PEJAM celik sudah 26 hari kita memasuki tahun baharu 2026. Sungguh, masa dirasakan berlalu cepat, tambahan pula kesibukan ibu bapa menguruskan persekolahan anak membuatkan kita kadang-kala tidak sedar hampir sebulan berada di tahun baharu.
Namun, yang lebih penting ialah cabaran menghadapi 2026 dengan perkembangan teknologi digital serta pengaruhnya terhadap remaja dan kanak-kanak.
Umum mengetahui, penggunaan media sosial di Malaysia sangat tinggi dengan purata rakyat menghabiskan sekitar 3.5 jam sehari, lebih tinggi daripada purata global di mana hampir 99 peratus pengguna internet mempunyai akaun media sosial.
Kebergantungan rakyat terhadap platform digital seperti TikTok, Facebook, Instagram dan aplikasi X bukan sahaja meluas kepada orang dewasa, malah remaja dan kanak-kanak turut memiliki akaun sendiri.
Sebagai ibu, penulis bimbang penggunaan tanpa kawalan boleh mempengaruhi perkembangan sahsiah, prestasi akademik dan kesejahteraan mental kanak-kanak.
Ini kerana, jika dilihat secara lebih terbuka, media sosial bukan sekadar hiburan atau kandungan semata-mata, tetapi menjadi platform ekspresi diri dan interaksi sosial dengan dunia luar.
Jika dimanfaatkan penggunaannya dalam konteks lebih baik, mungkin berupaya membantu seseorang individu dalam pembelajaran akademik, menambah kreativiti, mengasah kemahiran digital dan merapatkan hubungan kekeluargaan.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 957 kes pengesanan kandungan jelik dikaitkan dengan kanak-kanak bermula 1 Januari 2024 hingga 30 November 2025.
Kerjasama penguatkuasaan MCMC turut dipertingkatkan secara agresif melalui operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 sehingga membawa penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan dikatakan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Kejayaan lebih besar dicapai melalui Op Pedo 2.0 yang dilaksanakan pada 22 hingga 30 September 2025 menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi termasuk kes melibatkan guru dan warga asing.
Dalam operasi ini, lebih 880,000 fail berkaitan dan 82 peranti dirampas, sebanyak 29 kertas siasatan dibuka, 19 dituduh di mahkamah dan 17 daripadanya mengaku bersalah.
Oleh itu, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) dikuatkuasakan bertujuan melindungi keselamatan kanak-kanak dalam talian dan memberikan perhatian serius terhadap isu ini.
ONSA 2025 memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, lucah, sumbang, serta memudaratkan diri.
Baru-baru ini, MCMC turut menyatakan tindakan perundangan diambil berhubung isu membabitkan penyalahgunaan Grok yang dikenal pasti untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya termasuk lucah, jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
Difahamkan, paparan imej terbabit boleh menukar pakaian wanita dan kanak-kanak serta mengayakan secara seksual.
Seorang penyanyi tersohor dan pelakon remaja drama bersiri dari luar negara dilaporkan menjadi mangsa.
Sehubungan itu, penetapan had umur 16 tahun dalam penggunaan media sosial, amat bertepatan sekali.
Tegaslah dalam mendidik, kuatkuasakan undang-undang serta pantaulah anak-anak di sekeliling agar tidak menyesal kemudian hari.
*Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Utara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

