Pelan insurans mampu milik mampu legakan beban rakyat

Kos rawatan hospital swasta yang meningkat saban tahun bukan sahaja menyebabkan premium insurans melambung, malah memaksa sebahagian pesakit menangguhkan rawatan kerana kekangan kewangan. Gambar hiasan
Kos rawatan hospital swasta yang meningkat saban tahun bukan sahaja menyebabkan premium insurans melambung, malah memaksa sebahagian pesakit menangguhkan rawatan kerana kekangan kewangan. Gambar hiasan
A
A
A

LANGKAH kerajaan memperkenalkan empat inisiatif strategik bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dilihat pendekatan tepat pada masanya.

Menerusi keputusan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri berkaitan kos penjagaan kesihatan, fokus utama kini tertumpu kepada penyediaan perlindungan insurans asas mampu milik, peningkatan ketelusan harga rawatan serta bantuan kepada pesakit kurang berkemampuan.

Ketika ini, kos rawatan hospital swasta yang meningkat saban tahun bukan sahaja menyebabkan premium insurans melambung, malah memaksa sebahagian pesakit menangguhkan rawatan kerana kekangan kewangan.

Keadaan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan jangka panjang jika tidak ditangani secara sistematik.

Justeru, pelaksanaan inisiatif terbaharu itu perlukan pemantauan rapi dan pendekatan menyeluruh.

Ini kerana golongan berpendapatan rendah (B40) masih berisiko tercicir sekiranya premium insurans asas kekal di luar kemampuan.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu terus memperkukuh fasiliti kesihatan awam sebagai pilihan utama rakyat kerana kebergantungan sepenuhnya kepada sektor swasta dikhuatiri mewujudkan jurang akses rawatan antara golongan berkemampuan dan kurang berkemampuan.

Jika dilaksanakan secara berkesan, inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu mengawal perbelanjaan kesihatan isi rumah, malah mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan kesihatan negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!