Jawatankuasa masjid, surau digesa mulakan bantahan jual arak

PU Syed
PU Syed
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa masjid dan surau di Perak digesa memulakan langkah membantah penjualan arak di kawasan kariah masing-masing mulai Jumaat ini.

Pengarah Komunikasi Sukarelawan Muslim Perak (Semarak), Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, beberapa daerah di Perak telah memulakan langkah melarang penjualan arak di kawasan majoriti Muslim susulan bantahan penduduk setempat.

Menurutnya, respon Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad terhadap larangan penjualan minuman keras itu juga dilihat positif walaupun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berpandangan sebaliknya.

"Sebagai sebuah NGO berteraskan dakwah dan kebajikan, kami menyokong usaha murni ini dan menyeru seluruh umat Islam membantah penjualan arak di kawasan mereka.

"Sebagai permulaan dan penggerak usaha besar ini, kami menyeru jawatankuasa masjid dan surau memulakan usaha mengutip tandatangan bantahan penjualan arak di kawasan masing masing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat boleh mengambil kesempatan kehadiran ahli kariah pada hari Jumaat untuk melaksanakan usaha berkenaan.

Syed Mohd Bakri atau lebih dikenali Pencetus Ummah (PU) Syed berkata, Semarak bersedia menjadi koordinator melaksanakan kempen tersebut.

"Di dalam Islam, larangan penglibatan arak bukan hanya kepada peminum tetapi juga penjual dan semua yang terlibat dengan rantaian tersebut sehingga petani yang menanam untuk tujuan arak.

"Dalam negara kita, anak-anak yang baru belajar mencari rezeki dengan bekerja di kedai serbaneka turut terlibat menjual dan dibebani dosa tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan MBI telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan, terdapat cadangan dan tuntutan supaya larangan penjualan arak dan minuman beralkohol di kawasan majoriti penduduk Melayu diperluaskan ke Tambun, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.

Bagaimanapun, Kor Ming menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di semua premis perniagaan termasuk dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Ketetapan itu katanya, bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.

Pada 28 Januari lalu, Saarani memaklumkan kerajaan Perak tidak menghalang MBI meneruskan kajian terhadap larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!