Dua pegawai polis didakwa kes rasuah

Mohd Khairul Saberi (depan) dan Michael dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Selasa atas tuduhan meminta, memperoleh dan setuju terima rasuah.
Mohd Khairul Saberi (depan) dan Michael dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Selasa atas tuduhan meminta, memperoleh dan setuju terima rasuah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas tiga tuduhan meminta dan memperoleh rasuah berjumlah RM75,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Khairul Saberi Nyan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Mohd Khairul yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor didakwa meminta wang rasuah sebanyak RM50,000.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang disyaki terlibat dalam tawaran perniagaan jual beli minyak diesel tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa dilakukan bapa tiga anak itu di JSJK, IPK Johor pada pukul 6 petang, 12 Oktober 2022.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, pegawai polis itu didakwa memperoleh RM10,000 dan RM15,000 daripada individu yang sama masing-masing di sebuah restoran dekat Seri Alam pada pukul 9 malam, 5 Disember 2022 dan di sebuah stesen minyak di sini, pukul 2 petang, 14 Disember 2022.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan didakwa menerima dan setuju menerima rasuah RM5,000 daripada seorang wanita, tahun lalu.

Tertuduh, Micheal Anak Umap, 50, tidak mengaku salah sejurus dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamal.

Mengikut pertuduhan pertama, Micheal didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada seorang wanita berusia 29 tahun bagi mengurangkan hukuman ke atas bekas suami wanita terbabit yang sedang disiasat.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank terkemuka di Kluang pada 25 Ogos 2024.

Manakala pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa bersetuju menerima RM4,000 daripada individu sama bagi tujuan yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pegawai rendah polis itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor pada pukul 4.45 petang, pada hari yang sama.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Asmah Zainal Arifin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Atuffah Said.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Khairul diikat jamin sebanyak RM12,000, manakala Michael dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000.

Mereka turut dikenakan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah dan lapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor sebulan sekali.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan doukumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!