Prolintas tiada kaitan dengan dua individu didakwa terima rasuah

SHAH ALAM - Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) mengesahkan bahawa dua individu yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan menerima rasuah tidak mempunyai kaitan dengan operasi syarikat.
Prolintas dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, ia kerana projek tersebut bukan sebahagian daripada Prolintas Infra Business Trust (PIBT).
“Individu terbabit iaitu Zairulnizam Rohani serta Rostam Shahrif Tami merupakan afiliasi kepada Turnpike Synergy Sdn Bhd iaitu syarikat yang bertanggungjawab bagi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).
“Fokus kami kekal pada pengurusan lebuh raya di bawah PIBT dengan prinsip sifar toleransi terhadap sebarang pelanggaran integriti di setiap peringkat organisasi.
"Prolintas juga akan terus menyediakan perkhidmatan mengikut piawaian tadbir urus korporat yang tertinggi,” kata beliau.
Terdahulu, seorang pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis lalu atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM50,000.
Tertuduh iaitu Zairulnizam didakwa menerima rasuah bagi membantu sebuah syarikat pembinaan mendapatkan projek pembinaan lebuh raya, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima suapan bernilai RM50,000, masing-masing menerusi tiga pemindahan atas talian ke dalam akaun milik isterinya.
Selain itu, Ketua Pegawai Operasi ProLintas iaitu Rostam turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM70,000 daripada syarikat pembinaan berhubung projek SUKE, dua tahun lepas.

Rostam didakwa menerima suapan itu daripada Syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd melalui Mohd Rosman Alias sebagai upah bagi dirinya yang merupakan Wakil Pegawai Penguasa bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat SUKE.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
