Isu arak: Perketat penguatkuasaan, elak kekal status quo - Gulam

Gulam Muszaffar
Gulam Muszaffar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diingatkan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan lebih ketat terhadap penjualan arak kepada individu bawah umur atau secara haram dan bukannya mengekalkan status quo terutama di kawasan majoriti penduduk Islam.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar mendakwa, banyak kedai serbaneka dan runcit di Kuala Lumpur dilaporkan melanggar peraturan penjualan minuman keras yang telah ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut beliau, isu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat gagal mengawalnya dengan tegas.

"Hak orang bukan Islam untuk menjual, memilik dan minum arak tidak disentuh kerana itu hak mereka, tetapi peraturan am terpakai kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Gulam menegaskan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming perlu lebih praktikal dalam menangani isu terbabit.

"Kor Ming dalam ucapan beliau sering menjadikan Khalifah Umar Al Khattab dan Umar Abd Aziz (dalam mentadbir urusan masyarakat).

"Mereka merupakan pemimpin Islam yang tegas dan jika diikutkan cara Khalifah Umar mentadbir, satu botol minuman keras tidak dijual walaupun ada masyarakat bukan Islam di bawah pemerintahannya kerana kehadiran arak lebih membawa kemudaratan dari kebaikan untuk masyarakat," tegas beliau.

Sehubungan itu, katanya, beliau menyambut baik cadangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengkaji semula penjualan arak di kawasan atau kejiranan majoriti beragama Islam.

"Cadangan ini amat baik dari segi sensitiviti agama tetapi disanggah oleh Kor Ming yang berpendirian agar status quo jualan arak dipertahankan, sedangkan dari segi hukum arak adalah haram bagi umat Islam.

Artikel Berkaitan:

"Mengkaji semula kawasan kejiranan adalah sesuatu yang wajar kerana majoriti masyarakat di situ tiada keperluan untuk membeli apatah lagi meminumnya," tambah beliau.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Kor Ming menyarankan PBT mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Kor Ming menegaskan, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.

Pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan MBI telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!