Elok juga kalau mansuh PRK

SABTU lalu, ketika perbahasan di Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara, Setiausaha Organisasi Angkatan Wanita Amanah (AWAN), Anis Afida Mohd Azli menyampaikan satu usul yang menarik.
Wakil sayap wanita Amanah itu menggesa kerajaan meminda Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan agar tidak diadakan pilihan raya kecil (PRK) apabila berlaku kekosongan kerusi luar jangka.
Bahasa mudahnya, beliau mencadangkan supaya keperluan PRK dimansuhkan apabila berlaku kematian penyandang mana-mana kerusi pilihan raya sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Namun seperti dijangka, majoriti perwakilan Amanah menolak usul tersebut. Mungkin mereka yang menolak itu dalam kalangan ahli politikus sepenuh masa dan merasakan ada peluang untuk dicalonkan sekiranya ada mana-mana DUN atau Parlimen yang mengadakan PRK.
Umum mengetahui, keperluan PRK bagi menggantikan penyandang yang meninggal dunia merupakan bebanan buat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan kerana perlu menyediakan peruntukan yang besar.
Memetik pandangan bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, SPR perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi mengadakan PRK peringkat DUN, bergantung kepada faktor tertentu seperti keluasan kawasan, jumlah pusat daerah mengundi, petugas dan keperluan logistik.
Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran pula menjelaskan, bagi perbelanjaan SPR menguruskan PRK peringkat Parlimen, nilai diperlukan secara purata dalam lingkungan RM5 juta ke RM6 juta.
Ironinya, apa juga alasan, duit kerajaan daripada hasil cukai yang dibayar rakyat akan terus mengalir untuk tujuan pilihan raya tersebut.
Di sisi rakyat, selain melihat kos tersebut sebagai satu pembaziran, keterujaan mereka keluar mengundi dan memilih wakil rakyat baharu bukan lagi menjadi satu keutamaan. Buktinya cukup jelas apabila peratusan keluar mengundi pada setiap PRK yang diadakan sebelum ini menunjukkan trend menurun.
Oleh itu, ada baiknya juga usul tidak diadakan PRK, sebaliknya membenarkan kekosongan kerusi penyandang dinamakan penggantinya daripada parti yang memenangi kerusi tersebut.
Isu penting ketika ini adalah mengenai kelangsungan hidup rakyat Malaysia dan bukannya sibuk menjulang politikus yang bercita-cita menjadi Yang Berhormat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
