Dulu pengawal keselamatan, kini bertugas di awan biru

SHAH ALAM - Tidak pernah berputus asa dan mempunyai semangat yang tinggi akhirnya membuahkan hasil apabila seorang lelaki yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan berjaya mencapai cita-citanya menjadi pramugara.
Muhammad Ikram Mazlan, 26, berkata, walaupun sudah beberapa kali gagal sewaktu temu duga sebagai pramugara, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.
"Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan selama setahun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu 2020 hingga 2021 di Star Valley, Nilai. Ketika itu saya mahu cari pendapatan untuk tampung perbelanjaan peribadi.
"Selepas berhenti, saya menyambung pengajian dalam bidang Diploma Pentadbiran Perniagaan di University of Cyberjaya (UOC) sebelum bekerja di awan biru.

"Sebenarnya, untuk menjadi pramugara ini memang cita-cita saya sejak sekolah menengah lagi. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa serta dorongan daripada keluarga termasuk rakan-rakan saya berjaya menjadi kru kabin," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Muhammad Ikram berkata, dia sudah lebih setahun bekerja sebagai pramugara dan mempunyai hasrat untuk meraih jawatan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun katanya, untuk mencapai impian itu tidak mudah dan memerlukan usaha yang gigih terutamanya menguasai lebih banyak pengalaman bagi melepasi syarat ditetapkan.
"Saya ada berhasrat untuk jadi senior kru kabin ataupun juruterbang tetapi untuk dapat pangkat itu semestinya saya perlu belajar lebih banyak lagi tentang kerja saya.
"Bagi kerjaya sebagai juruterbang pula saya mempersiapkan diri sepenuhnya untuk pergi ke temu duga dan perlu bersaing dengan beratus peserta lain. Ini memang salah satu daripada sasaran saya juga iaitu masuk kadet juruterbang Air Asia," ujarnya.

Tambah Muhammad Ikram, untuk mencapai sesuatu perkara itu tidak mudah tetapi jika seseorang cekal dan tabah menghadapi ujian serta rintangan akan ada sinar di kemudian hari.
Ujarnya, sikap putus asa dalam diri perlu dibuang agar fikiran sentiasa positif dan berfikir kepada penyelesaian, bukan pengakhiran.
"Kepada anak-anak muda dan rakan sebaya saya, jangan mudah putus asa sekiranya tak dapat capai cita-cita yang kita mahukan.
"Sekiranya ada peluang lain untuk buat duit sementara, gunakan peluang itu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

