Timbalan Menteri kecewa projek LRA Sungai Limau terbengkalai

Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling, yang didapati tidak menunjukkan sebarang kemajuan sejak Julai tahun lepas. - Foto Bernama, gambar kecil: Akmal Nasrullah
Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling, yang didapati tidak menunjukkan sebarang kemajuan sejak Julai tahun lepas. - Foto Bernama, gambar kecil: Akmal Nasrullah
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir turun padang bagi melihat sendiri perkembangan di tapak projek tender Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau, Kedah.

Bagaimanapun dakwanya, projek tersebut dilihat terbengkalai dan tidak disiapkan meskipun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berjanji untuk menyelesaikannya pada Januari 2024.

“Dari awal tahun lepas, saya sudah tegur prestasi kontraktor perlu dipertingkatkan tetapi saya berterusan dicaci dan diherdik.

“Dengan Kedah satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mempunyai simpanan bekalan air terawat apabila rizab marginnya dikesan sifar akibat tekanan air dan kekurangan infrastruktur.

“Lewat sedikit akan beri kesan besar apatah lagi untuk ulang semula proses daripada awal,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Sanusi membidas kenyataan Akmal dengan mengatakan perkembangan projek LRA Sungai Limau kini dalam proses penamatan khidmat kontraktor sedia ada susulan gagal melaksanakan tugas dalam tempoh ditetapkan.

Menurutnya, bukan projek LRA sahaja berdepan dengan masalah kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual, tetapi ada juga projek lain seperti pembinaan rancangan tebatan banjir pernah menghadapi masalah sama sebelum ini.

Namun, pada Selasa lalu, Akmal mengatakan pihaknya telah mendapati kerja-kerja pembinaan LRA telah terhenti sejak Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

Menerusi lawatan kali ketiganya mendapati tiada kemajuan kerja dan bimbang akan menjejaskan akses penduduk kepada bekalan air bersih yang sangat diperlukan di kawasan berkenaan.

Beliau juga melahirkan kebimbangan mengenai kos tambahan dan garis masa projek yang mungkin terjejas akibat kelewatan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!