Isu tender LRA Sungai Limau: Sanusi bidas Akmal Nasrullah

Sanusi (kiri) dan Akmal Nasrullah.
Sanusi (kiri) dan Akmal Nasrullah.
A
A
A

ALOR SETAR - Proses tender semula projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau akan dilakukan selepas penamatan kontraktor diluluskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sudah menyerahkan dokumen berkaitan kepada Petra dan ia masih dalam proses kelulusan.

Menurutnya, penamatan kontraktor sedia ada terpaksa dilakukan setelah diberikan beberapa kali tambahan masa (EOT) namun masih gagal disiapkan sehingga kini.

“Proses tamatkan kontraktor LRA Sungai Limau itu sudah diserahkan kepada Petra seperti dikehendaki undang-undang. Mana-mana projek kerajaan, ada prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang perlu dipatuhi dalam proses perolehan.

“Sudah beberapa kali rundingan dilakukan bersama kontraktor terbabit sehingga lima EOT diberikan, ia mengikut undang-undang yang membenarkan kontraktor diberikan EOT.

“Jadi kita bagilah hak itu untuk mereka teruskan namun sampai satu tahap, masih gagal maka dilakukan penamatan sebelah pihak,” katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan sumbangan sempena Tahun Baru Cina di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO negeri, Wong Chia Zhen.

Artikel Berkaitan:

Sanusi (tengah) bersama Chia Zhen (kiri) meraikan penerima sumbangan Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Sanusi (tengah) bersama Chia Zhen (kiri) meraikan penerima sumbangan Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sanusi berkata, pelantikan kontraktor bagi projek berkenaan dilakukan secara tender terbuka termasuk proses untuk tender semula.

“Kontraktor dipilih oleh sistem bukan dilantik oleh kerajaan negeri. Untuk kita melantik kontraktor baharu sebagai ganti pun perlu lalui proses sama.

“Selepas ditamatkan (kontraktor), akan dibuka semula tender. Ia akan ambil masa, inilah yang cuba kita elakkan kerana kontraktor baharu perlu mula semula dari awal,” katanya.

Sebelum ini, LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau telah diberikan EOT untuk disiapkan sehingga tempoh Januari dan April ini.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Petra, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengadakan lawatan ke LRA Sungai Limau, LRA Jenun Baru dan tapak RTB Sungai Pendang.

Akmal Nasrullah melahirkan kebimbangan mengenai perkembangan projek LRA Sungai Limau, yang dikatakan tiada kemajuan kerja sejak dihentikan pembinaan Julai lepas.

Beliau juga memaklumkan, kementerian telah membuat ketetapan supaya menamatkan kontrak kontraktor sedia ada dan kini urusan itu sedang dilaksanakan di peringkat negeri.

Sanusi sebaliknya menempelak kenyataan Akmal Nasrullah yang didakwa cuba memberi imej buruk terhadap kerajaan negeri apabila projek berkenaan gagal disiapkan.

“Kita tak pilih bulu, tak kenal secara peribadi (kontraktor) sebab semua ikut proses tender terbuka. Bukan ada hanky panky seperti cuba dibayangkan oleh Akmal Nasrullah.

“Saya rasa beliau tak faham proses, kalau projek itu tak ada masalah, dia pun tak datang untuk menimbulkan persepsi buruk.

“Beliau sepatutnya panggil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan SO projek tersebut, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Mereka ikut semua prosedur, SOP yang digariskan dalam pelaksanaan projek kerajaan,” katanya.

Sanusi berkata, projek LRA Pelubang yang mendahului jadual tidak pula mendapat perhatian atau diberikan pujian, sebaliknya hanya mencari kesalahan pihak lain.

“Saya rasa Akmal Nasrullah dapat dokumen penamatan itu lah sebab dia datang melawat. Datang buat kacau saja. Saya nasihat dia janganlah buat kacau, tengok sama kemajuan LRA lain yang ikut jadual, yang itu tak komen pula.

“LRA Pelubang dilaksanakan dengan pinjaman dan kerajaan negeri akan bayar pinjaman Persekutuan RM461 juta,” katanya.

Menurutnya lagi, agensi dan jabatan berkaitan akan menguruskan proses seterusnya, bukan dikendalikan oleh orang-orang politik termasuk anggota Exco atau menteri besar.

“Jabatan dan agensi termasuk jabatan bersama diwakili negeri dan Persekutuan akan uruskan, antaranya JKR bawah Kementerian Kerja Raya bersama Petra.

“Benda yang elok tak dibangkitkan, yang itu juga dihebohnya. Banyak projek dalam negara malah dunia berdepan kegagalan apabila berhadapan dengan masalah tertentu selepas diberikan tender.

“Bukan LRA Sungai Limau saja, ada banyak lagi projek-projek terbengkalai, antaranya Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bertahun tak siap sehingga beberapa kontraktor ditukar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!