[VIDEO] Hadkan jualan belangkas elak diancam pupus
MARANG - Kerajaan disaran mengawal dan mengehadkan pengeluaran belangkas daripada dijual secara besar-besaran memandangkan populasi haiwan itu di negara ini semakin meruncing dan dikhuatiri bakal diancam kepupusan.
Dekan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Faridah Mohamad berkata, kuota tertentu bagi aktiviti pengeluaran hidupan itu wajar diwujudkan di samping mewartakan kawasan pembiakannya supaya tidak diceroboh.

Menurutnya, permintaan tinggi sebagai hidangan eksotik selain untuk dieksport ke pasaran Thailand antara sebab populasi haiwan purba itu semakin meruncing.
"Populasi belangkas di seluruh dunia menurun kerana beberapa ancaman.
"Belangkas dewasa yang dieksport, atau dimakan bersama telurnya merupakan belangkas yang berusia sekurang-kurangnya lapan tahun kerana pada usia itu sahaja ia memiliki telur.
"Jadi, lebih baik sekiranya kerajaan turut sama mengawal populasi haiwan ini dengan mengehadkan pengeluaran atau mewujudkan akta yang bersesuaian bagi memastikan ia tidak terus diancam kepupusan," katanya.

Dr Faridah ditemui pemberita pada Program Jom Menjejak Anak Belangkas di sekitar Sungai Marang di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, kawasan di pesisir Sungai Marang berdekatan Pulau Kekabu itu merupakan lokasi baharu julung kali ditemui di Terengganu bagi pembiakan haiwan tersebut.
Katanya, penemuan anak belangkas pelbagai saiz menunjukkan kawasan itu menjadi tumpuan dan dikunjungi oleh pelbagai pasangan belangkas untuk membiak.
"Penemuan baharu ini menunjukkan petanda baik bagi proses pemuliharaan belangkas memandangkan sebelum ini haiwan itu hanya diperoleh dari nelayan setempat di Besut, Setiu dan Kemaman.
"Kawasan sebegini jarang ditemui malah ia merupakan habitat semula jadi yang menjadi 'nurseri' anak belangkas sehingga mencecah usia antara satu hingga dua tahun sebelum berpindah ke sungai atau laut.

"Justeru kita amat mengalu-alukan sekiranya kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mewartakan kawasan ini daripada sebarang pencerobohan," ujarnya.
Jelas Faridah, terdapat tiga spesies belangkas di Malaysia iaitu belangkas tiga duri (tachypleus tridentatus) yang hanya ditemui di perairan Sabah, belangkas pantai (tachypleus gigas) dan belangkas paya bakau (carcinoscorpius rotundicauda).
Katanya, buat masa ini, tiga spesies belangkas terdapat di Asia dan hanya satu spesies sahaja terdapat di timur benua Amerika iaitu spesies belangkas atlantik (limulus polyphemus).
Menurutnya, belangkas merupakan haiwan unik dengan bentuk badan yang sama sejak berjuta tahun dahulu serta merupakan haiwan akuatik yang boleh mencecah usia dewasa antara lima tahun ke atas mengikut spesies.
"Terdapat ancaman yang kurang diambil perhatian antaranya kurangnya tempat bertelur dan kemusnahan alam disebabkan faktor alam semulajadi seperti monsun, hakisan pantai dan muara.
"Selain itu mahupun faktor pencemaran sungai dan muara serta tebus guna tanah di kawasan-kawasan berkaitan juga mempengaruhi pembiakan belangkas.
"Faktor-faktor ini menyebabkan pasangan belangkas gagal bertelur, dan sekiranya berjaya, anak-anak belangkas menetas mungkin gagal meneruskan hidup sehingga dewasa kerana tiadanya 'nurseri' sesuai untuk tumbesarannya," jelasnya.

Sementara itu, peserta program, Nor Omaima Harun, 50, berkata, pendedahan terhadap populasi belangkas yang semakin terancam amat penting bagi mewujudkan kesedaran terhadap orang ramai.
"Kita tahu belangkas menjadi antara menu kegemaran masyarakat namun memandangkan jumlah belangkas ini semakin lama semakin berkurangan, perlu adanya suntikan kesedaran terhadap mereka.
"Sekali kita kehilangan spesies ini bermakna selamanya kita akan hilang, justeru, pemahaman mengenai kepentingan belangkas terhadap ekosistem kehidupan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
