SejaTi MADANI cipta peluang pekerjaan, jana pendapatan hingga RM25,000 sebulan

Hazif (tengah) meninjau perusahaan komuniti di bawah program SejaTi MADANI.
Hazif (tengah) meninjau perusahaan komuniti di bawah program SejaTi MADANI.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Sejahtera Madani (SejaTi MADANI) yang dilancarkan Mac 2024 untuk merangsang aktiviti ekonomi telah melahirkan 6,548 perusahaan komuniti dengan 22,000 peluang pekerjaan.

Pengarah Pembangunan Sosioekonomi di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Hazif Hamid, inisiatif ini menggerakkan penyertaan aktif akar umbi dan memupuk daya inovasi dalam kalangan pemimpin komuniti untuk merealisasikan peluang ekonomi tempatan.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk menyokong program SejaTi MADANI membolehkan komuniti memohon geran antara RM50,000 hingga RM100,000.

Hazif (dua kanan) meninjau perusahaan komuniti di bawah SejaTi MADANI yang membolehkan perusahaan komuniti kini menjana pendapatan antara RM4,000 hingga RM25,000 sebulan.
Hazif (dua kanan) meninjau perusahaan komuniti di bawah SejaTi MADANI yang membolehkan perusahaan komuniti kini menjana pendapatan antara RM4,000 hingga RM25,000 sebulan.

"Geran itu dibuka untuk melaksanakan projek dalam lima sektor utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan produk penjagaan kesihatan, hospitaliti dan pelancongan, serta aktiviti hijau dan kitar semula.

"Program ini telah menerima 16,000 permohonan dan sehingga September lalu sebanyak RM590 juta dana telah diluluskan serta disalurkan dengan Sarawak menerima peruntukan tertinggi," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, perusahaan komuniti kini menjana pendapatan antara RM4,000 hingga RM25,000 sebulan.

"Ia juga mewujudkan pekerjaan, mengusahakan tanah terbiar, menguruskan sumber dan meningkatkan pendapatan di peringkat akar umbi.

"Bagi jangka panjang, SejaTi MADANI telah memberikan manfaat besar kepada negara dalam masa setahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, selain keuntungan kewangan, program ini mempromosikan pembangunan seimbang dengan melindungi alam semula jadi, budaya dan warisan.

Selain itu katanya, ia juga mengurangkan penghijrahan luar bandar ke bandar selain menurunkan kos barangan dan perkhidmatan.

"Menerusi pembiayaan SejaTi MADANI, kos operasi telah menurun, membolehkan komuniti menawarkan barangan dan perkhidmatan pada harga lebih rendah.

"Contohnya, di beberapa tempat harga daging lembu telah menurun dari RM35/kg ke RM25/kg serta buah-buahan dan sayur-sayuran seperti terung, salad dan pisang.

"Yuran sewaan dron untuk pembajaan, kawalan perosak dan pemantauan juga telah menurun dengan ketara. Manfaat ini turut dirasai di kawasan bandar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!