Wang pencen pesara lebih RM155,000 lesap akibat 'phone scam'

KUALA TERENGGANU - Wang simpanan pencen milik seorang pesara kerajaan berjumlah RM155,804 lesap selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau 'phone scam' pada 16 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 68 tahun itu dihubungi seorang individu menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang memaklumkan mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta penyalahgunaan meter air.
"Mangsa telah diarahkan menyerahkan semua maklumat perbankan dan kad debit melibatkan tiga akaun bank bagi penyiasatan kewangan.
"Kemudian diarah untuk meletakkan kad debit tersebut dalam plastik dan diletakkan di celah pokok di hadapan rumah.
"Setelah itu, mangsa telah menerima notifikasi daripada pihak bank menunjukkan pengurangan wang besar melalui ketiga - tiga akaun bank serta akaun tabung haji miliknya," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azli memaklumkan mangsa mula sedar dirinya telah ditipu kemudian menghubungi pihak bank untuk menyekat akaun bank miliknya serta mendapatkan penyata bank.
"Selepas diperiksa terdapat lebih 55 transaksi pindahan wang ke empat akaun yang dibuat melalui mesin juruwang automatik (ATM)," ujarnya.
Azli berkata, susulan itu mangsa yang kehilangan wang simpanan pencennya membuat laporan polis pada 3.35 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
