Wang simpanan RM165,975 lesap terperdaya untung lumayan

KUANTAN - Tertarik dengan keuntungan lumayan sehingga 19 peratus daripada wang dilaburkan, seorang peniaga nekad menggunakan simpanan RM165,975 untuk menyertai skim pelaburan tersebut.
Malangnya, lelaki berusia 26 tahun terpaksa berputih mata apabila menyedari pelaburan dalam talian itu rupanya tidak wujud hingga kerugian semua wang dilaburkan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa menyertai skim pelaburan secara dalam talian itu 31 Disember tahun lalu.
Menurutnya, mangsa telah diberikan pautan untuk mendaftar sebagai ahli pelaburan tersebut melalui sebuah laman sesawang.
"Suspek menjanjikan keuntungan sebanyak enam sehingga 19 peratus daripada modal yang dilabur.
"Dalam tempoh 1 hingga 20 Januari lalu, mangsa telah memindahkan wang pelaburan RM165,975 melalui lima akaun bank berbeza menggunakan wang simpanannya," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Yahaya berkata, mangsa syak ditipu setelah suspek meminta membuat pelbagai bayaran bagi membolehkan hasil keuntungan pelaburan dikeluarkan.
"Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.
"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

