Maritim gagalkan cubaan seludup dadah RM360,000

PONTIAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, berjaya menggagalkan usaha menyeludup dadah ke luar negara hasil operasi yang dilakukan awal pagi Jumaat.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, cubaan menyeludup dadah keluar ke negara jiran terbabit digagalkan oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika melakukan operasi penguatkuasaan.
“Ketika melakukan rondaan, bot berkenaan telah mengesan sebuah bot fiber berwarna biru mencurigakan pada sekitar jam 1.15 pagi Jumaat pada kedudukan 0.5 batu nautika barat laut muara Sungai Rambah, Pontian.
“Apabila menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot fiber tersebut dipandu laju menuju ke perairan cetek dan kelihatan seorang suspek melarikan diri ke arah paya bakau meninggalkan bot fiber terbabit.
“Pihak Maritim Malaysia kemudiannya terpaksa memohon bantuan bot Maritim Malaysia yang bersesuaian bagi mengambil dan membawa bot fiber yang ditinggalkan suspek untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihak Maritim Malaysia telah menemukan sebuah beg galas hitam mengandungi lima bungkusan dadah seberat lima kilogram yang disyaki syabu serta satu bungkusan pil seberat 1.2 kilogram disyaki pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM360,000.
Dalam pada itu, Kama Azri berkata, pihaknya turut menemukan sebuah telefon bimbit dan plastik bungkusan teh cina yang dipercayai digunakan bagi membungkus dadah tersebut.
Jelasnya, bot fiber berserta enjin dan dadah tersebut kemudiannya dirampas serta dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
