Pindah milik tanah: Selangor ambil tindakan undang-undang - Amirudin

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

GOMBAK - Kerajaan Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan disiplin terhadap tujuh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang yang ditahan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah mengenal pasti individu terlibat dalam aktiviti tersebut dan akan dikenakan tindakan di bawah tata kerja ditetapkan termasuk jawatankuasa disiplin dan siasatan dalaman sekiranya terbukti bersalah.

"Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu dan apabila bukti lengkap, kita akan susuli tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kebun Komuniti dan Penyerahan Green House Projek Teknologi Microfarm di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves di sini pada Ahad.

Amirudin menjelaskan, kesalahan pindah milik tanah itu dikesan berlaku ketika peralihan daripada pengurusan tanah biasa kepada sistem e-tanah.

"Namun, selepas ini kita akan lebih menitikberatkan peningkatan prosedur bagi keluar masuk data dalam sistem tersebut supaya ruang manipulasi dapat ditutup," ujar beliau.

Ditanya adakah kegiatan sama berlaku membabitkan pejabat daerah dan tanah (PDT) lain di negeri ini, Amirudin memberitahu, setakat ini hanya satu kes dikenal pasti melibatkan PDT Klang sahaja.

Menurut Amirudin, kegiatan pindah milik tanah itu dipercayai melibatkan lebih dari seorang individu kerana prosesnya yang rumit.

Artikel Berkaitan:

Amirudin (kanan depan) melawat kebun komuniti pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Green House Projek Teknologi Microfarm di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves di sini pada Ahad.
Amirudin (kanan depan) melawat kebun komuniti pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Green House Projek Teknologi Microfarm di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves di sini pada Ahad.

“Proses ini bukan mudah kerana melibatkan beberapa pihak termasuk jabatan IT yang secara bersama-sama mengatur pergerakan manipulasi tersebut.

"Namun, ini adalah dapatan awal dan kami akan mengikut proses undang-undang sedia ada,” tambah beliau.

Mengulas mengenai modus operandi digunakan pihak yang mencari tanah kosong dan terbiar tidak diusahakan untuk melakukan pindah milik, Amirudin mengakui itu sebahagian daripada kegiatan sindiket terbabit.

"Mereka ini dikesan memang bergerak menjadi satu sindiket kerana yang penting, bukan dilakukan seorang individu sahaja.

"Ada pegawai mengenal pasti senarai tanah di lapangan dan tahu tanah itu tak dipohon kemudiannya boleh pindah milik," tambah Amirudin.

Sinar Harian pada 21 Januari lalu melaporkan, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) pada Selasa mengesahkan tujuh kakitangan PDT Klang merupakan antara 17 orang penjawat awam ditahan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor.

Datuk Dr Yusri Zakariah berkata, semua tujuh kakitangan terbabit sudah dipindahkan ke jabatan lain tidak melibatkan urusan berkaitan kerja tanah.

Pada 10 Januari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, seramai 17 individu termasuk tujuh penjawat awam dari sebuah PTG di Selangor berumur antara 26 hingga 59 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di pejabat berkenaan.

Ramli berkata, mereka ditahan secara berasingan sejak September tahun lalu itu disyaki terbabit kartel pindah milik tanah dengan tujuh kes disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!